SPM: Emosi pelajar terganggu kesan banjir luar biasa

Roslan Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) melahirkan kebimbangan terhadap keselesaan dan kestabilan emosi pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir di Kelantan dan Terengganu. 

- Advertisement -

Beliau berkata, walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan tempat penginapan, makanan, minuman dan pengangkutan, situasi banjir yang mencabar mungkin menjejaskan emosi serta tumpuan pelajar dalam menghadapi peperiksaan. 

“Apakah yang disediakan oleh KPM mungkin tidak selesa, tidak sesuai, tidak kondusif bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM. Secara psikologinya, emosi dan fikiran mereka pastinya akan terganggu akibat kesan banjir yang agak luar biasa.

“Mana mungkin pelajar-pelajar ini dapat menjawab dengan tenang tanpa tekanan dan penuh keyakinan berbanding dengan pelajar-pelajar yang tiada musibah banjir.

“Persoalannya, mengapakah KPM atau menteri menidakkan peluang kedua atau sidang kedua kepada pelajar-pelajar SPM bagi ujian lisan ini sedangkan ianya dibolehkan, dibenarkan dan tidak menjadi satu kesalahan jika peluang kedua ini dijalankan setelah banjir mereda tanpa memberi gangguan dan tekanan emosi kepada pelajar-pelajar SPM dan jika banjir berlaku semasa ujian bertulis pada bulan Januari adakah akan diteruskan dalam suasana banjir,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menjawab persoalan tersebut, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif di bawah Ops Payung telah dilaksanakan dengan berkesan bagi memastikan kebajikan pelajar terjamin.

Beliau berkata, pelajar SPM yang terjejas telah ditempatkan di asrama-asrama dengan kelengkapan yang mencukupi, termasuk bantuan alat tulis dan persediaan pembelajaran. 

“Ya, dari segi persiapan mereka juga, kita siapkan bukan sahaja dari segi tempat tinggal tetapi juga bantuan-bantuan yang lain termasuk pembelajaran dan juga alat tulis serta persiapan-persiapan mereka untuk menghadapi peperiksaan.

“Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil tanggungjawab penuh bila kita melihat isu yang dibangkitkan berkaitan dengan persiapan psikososial dan psikologi yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa selepas pemindahan berlangsung, proses seterusnya fasa kedua yang berlaku adalah pembugaran emosi yang mana kami telah menggerakkan seluruh kaunselor, Unit Bimbangan dan Kaunseling kaunselor JKM terlibat, Kaunselor Sukarelawan KPM juga terlibat.

“Seramai 90 kaunselor telah dikerahkan di Terengganu dan 110 di Kedah. Mereka akan bertugas sepanjang peperiksaan berlangsung untuk memastikan sokongan emosi diberikan secara berterusan,” katanya. 

Menurut beliau, fleksibiliti jadual ujian bertutur juga diberikan kepada sekolah untuk mengatur sesi dari Isnin hingga Khamis, membolehkan pelajar hadir mengikut kesesuaian. – HARAKAHDAILY 5/11/2024

- Advertisement -