
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang disaran untuk mencari mekanisme bagi meningkatkan gaji kakitangan masjid dalam negeri ini yang masih berada pada tahap sangat rendah.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) berkata, gaji kakitangan masjid seperti siak dan bilal ketika ini adalah berada pada tahap yang sangat rendah dan di bawah tahap minima.
“Kita tahu gaji siak, gaji bilal kita sangat rendah, bawah gaji minima. Ada yang bawah RM400, ada yang di ‘top up’ oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan sebagainya.
“Katakanlah tok siak. Kadang-kadang kita pergi masjid ni masalahnya adalah kebersihan tandas masjid, selak (kunci) pun tak de (tidak ada). Nak buang air, nak pegang pintu lagi, cukup payah.
“Jadi kalau boleh mereka dibayar gaji yang sepadan dan wajibkan mereka bertugas sepenuh masa di masjid. Tapi biar berbaloi dengan gaji yang mereka perolehi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad memberi reaksi balas terhadap perkara itu.
Katanya, memang terdapat beberapa masjid yang mengalami masalah sedemikian kerana kebergantungan penuhnya terhadap bantuan daripada kerajaan.
“Rakyat kita di negeri Pahang ini orang yang sentiasa bergantung kepada kerajaan. Kemudian tabung-tabung yang ‘bergolek’ depan mereka itu pun tidak begitu meriah.
“Ada juga masjid yang boleh membayar gaji kepada siak. Bukan sahaja kepada imam dan bilal, bahkan mereka sanggup ‘mengimport’ imam-imam daripada luar.
“Memberikan imbuhan-imbuhan yang memuaskan hati kepada imam masjid hanya untuk bertugas sebulan sahaja pada bulan Ramadan,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2024











