Hanya ada satu lori tangki bekalan air di Trong?

- Advertisement -

IPOH: Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) menimbulkan isu bekalan air ketika sesi Soalan-soalan Lisan pada Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua Dewan Negeri Ke-15 Perak, di sini hari ini.

- Advertisement -

Beliau menegaskan keperluan meningkatkan bilangan lori tangki air untuk menyelesaikan masalah bekalan air apabila berlaku gangguan, baik disebabkan penyelenggaraan berjadual mahupun kerosakan yang tidak dijangka.

“Saya mohon supaya notis dikeluarkan kepada rakyat sama ada bagi penyelenggaraan terancang atau kecemasan akibat paip pecah. Ini bagi memastikan rakyat tahu punca masalah bekalan air yang terganggu,” katanya.

Tambah beliau, hanya terdapat satu lori tangki air untuk wilayah tersebut, yang terpaksa dipinjam daripada kawasan lain apabila berlaku gangguan bekalan air.

“Adakah satu wilayah hanya mempunyai satu lori tangki sahaja? Saya harap pihak Lembaga Air Perak (LAP) dapat menyediakan lebih banyak lori untuk membantu rakyat yang memerlukan bekalan air alternatif,” ujarnya.

Dalam soalan asalnya, Muhammad Faisal bertanya mengenai langkah penyelesaian jangka panjang oleh LAP bagi mengatasi masalah loji rawatan air (LRA) di kawasan tadahan Hutan Lipur Pecah Batu, Trong, yang sering tersumbat akibat hujan lebat melampau.

Menjawab soalan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perunding telah dilantik untuk melaksanakan projek rawatan air baru.

“Projek ini kini berada dalam peringkat penyediaan reka bentuk terperinci,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2024

- Advertisement -