Jangan perlekeh usir seorang kerana pekerjaan dilakukannya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedudukan seseorang sama ada penjual teh ais atau jutawan, tiada membezakan keduanya kecuali takwa kepada Allah, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

- Advertisement -

Terang beliau, kedudukan umat Islam di sisi Allah SWT dinilai berdasarkan ketakwaan mereka sebagaimana dapat difahami dalam hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah RA.

“Boleh jadi orang yang rambutnya kusut masai, penuh debu, dan sering dihalau di pintu-pintu, sekiranya dia bersumpah atas nama Allah, Allah pasti memakbulkannya,” ujarnya memetik hadis Riwayat Muslim itu.

Jelas beliau, aksud ‘madfu’ bi al-abwab’ dalam hadis di atas adalah orang itu sering dihalau di pintu-pintu kerana tiada kedudukan atau pengaruh di mata manusia.

“Hadis ini menggambarkan seseorang yang miskin dan tidak dipedulikan oleh masyarakat kerana penampilannya yang tidak terurus dan kedudukannya yang rendah.

“Namun, di sisi Allah SWT, dia memiliki kedudukan yang tinggi kerana ketakwaannya,” terang beliau menerusi Facebook.

Terangnya berdasarkan hadis itu lagi, sekiranya orang tersebut bersumpah atas nama Allah untuk sesuatu perkara, Allah akan memenuhi sumpahnya.

“Sekiranya dia berdoa, pasti Allah makbulkan. Hal ini kerana keikhlasannya, kedudukannya di sisi Allah, dan amalannya yang selari dengan keredaan Allah.

“Apa jua kedudukan seseorang sama ada penjual teh ais atau jutawan, tiada yang membezakan keduanya kecuali takwa kepada Allah,” kata beliau.

Pada Selasa, tular sebuah video berhubung pendakwah Indonesia yang didakwa mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan ucapan kesat dan hinaan kepada seorang peniaga teh ais.

Pendakwah tersebut bagaimanapun tampil memohon maaf dan menjelaskan tindakan tersebut sekadar bergurau kerana sudah terbiasa bersikap sedemikian.

Video berdurasi satu minit 23 saat itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang mempersoalkan tindakanpendakwah itu kerana mengeluarkan perkataan tidak manis seperti mengejek dan memperlekeh kedudukan seorang penjual teh ais. – HARAKAHDAILY 5/12/2024

- Advertisement -