Masyarakat Siam terharu inisiatif Kerajaan Negeri

Bantu masyarakat minoriti ketika banjir

- Advertisement -

TUMPAT: Masyarakat Siam di Pengkalan Kubor meluahkan penghargaan atas keprihatinan dan kerjasama erat pemimpin Kerajaan Kelantan dalam membantu mangsa banjir yang terjejas di kawasan tersebut.

- Advertisement -

Bantuan diberikan tanpa mengira batas kaum dan agama itu telah menyentuh perasaan masyarakat Siam khususnya di Pengkalan Kubor, di sini.

Langkah proaktif Kerajaan Negeri mewartakan tujuh Wat Siam sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) disifatkan memberi manfaat besar kepada penduduk tanpa mengira kaum.

Ketua Sami Wat Machimaram, Phra Ajarn Somchai Wongraksa menzahirkan rasa terharu atas inisiatif tersebut.

Katanya, usaha ini membuktikan Kerajaan Negeri tidak meminggirkan masyarakat Siam walau dalam apa hal sekalipun, termasuk kebajikan dan keselamatan pelbagai kaum ketika banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat memaklumkan mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, pewartaan PPS di wat-wat Siam sekitar Pengkalan Kubor dan Tumpat adalah pendekatan terbaik bagi memastikan semua mangsa banjir menerima perlindungan selamat tanpa mengira latar belakang.

Katanya, langkah ini penting untuk menjaga nilai kesepaduan yang menjadi pegangan masyarakat melalui prinsip ‘Set Kita Jange Pecoh’.

“Ia juga mencerminkan semangat perpaduan di kawasan ini,” ujarnya yang juga ADUN Pengkalan Kubor ketika menyantuni mangsa banjir di Wat Machimaram, semalam.

Sebanyak sepuluh PPS diwartakan di kawasan tersebut, antaranya Wat Machimaram, Wat Pikulyai, Wat Prachumthatcabaram, Wat Sukhontaram, Masjid Pak Keral, Surau IPD Tumpat, dan Dewan Penggawa Pengkalan Kubor.

Kunjungan beliau ke beberapa wat semalam turut disertai Pengerusi Pusat Integrasi Kaum Negeri Kelantan (PEKA), Lim Guan Seng, dan Pegawai Khas Menteri Besar, Lau Chin Chua.

Beliau menambah, hubungan erat antara masyarakat Siam dan Melayu di kawasan tersebut adalah contoh terbaik perpaduan yang amat wajar diteladani.

“Ketika PPS lain penuh, penduduk Melayu turut ditempatkan di wat, dan situasi ini diterima baik oleh semua pihak. Sikap saling memahami ini melambangkan keharmonian dalam komuniti berbilang bangsa di Tumpat,” katanya.

Wan Roslan turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan wat, penyumbang barang keperluan asas, dan mangsa banjir atas kerjasama mereka.

“Bencana seperti ini adalah ujian kepada kekuatan perpaduan kita. Sikap bantu-membantu serta menghormati perbezaan budaya dan agama yang ditunjukkan menjadi teladan terbaik, membuktikan bahawa cabaran dapat diatasi bersama dengan semangat solidariti,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2024

- Advertisement -