Orang ramai dinasihat tak cetus suasana panik

- Advertisement -

SIK: Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi berlebihan yang boleh mencetuskan suasana panik terhadap masyarakat, demikian nasihat Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Kata beliau, dakwaan kononnya pihak yang mengurus selia empangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melepaskan air empangan, adalah tidak benar.

“Saya baru sahaja mendapat taklimat daripada jurutera yang bertanggungjawab berkenaan keselamatan empangan ini.

“Paras air juga telah menunjukkan trend menurun yang sebelum ini  daripada 337 kaki iaitu 102.7 meter,  turun ke 334 kaki (101.8 meter), sekarang ini,” jelasnya.

Kata Sanusi, limpahan air di Empangan Muda adalah bersifat semula jadi apabila takungan air di empangan itu melebihi paras maksimum.

Keadaan itu jelasnya, tidak memerlukan kepada tindakan serta pengisytiharan kecemasan kerana belum dikategorikan sebagai kritikal.

Beliau berkata demikian melalui satu video yang dimuat naik di media sosial selepas meninjau keadaan Empangan Muda di sini, semalam.

Mengulas lanjut jelas beliau, sekiranya berlaku limpahan melebihi 3.04 meter di Empangan Muda, perkara itu akan dimaklumkan MADA kepada  Pengerusi Keselamatan Daerah iaitu Pegawai Daerah untuk tindakan susulan.

Sementara segala tindakan yang akan diambil ujarnya, adalah selari dengan arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Saya nasihatkan kepada orang ramai yang datang ambil gambar dan video, tak perlu mencetuskan suasana panik.

“Sedangkan pelepasan air tidak berlaku pun, jadi tidak perlu buat laporan dan ulasan yang berlebihan,” nasihatnya lagi.

MADA terangnya, akan buat pemantauan 24 jam dan setiap maklumat berkaitan akan dimaklumkan serta diambil tindakan oleh Pengerusi Keselamatan Daerah, termasuk MADA sendiri.

Sebarang spekulasi yang keterlaluan ujarnya, tidak perlu serta mesti dihentikan. – HARAKAHDAILY 30/11/2024

- Advertisement -