Penduduk Beseri lega tiada banjir kilat

- Advertisement -

PADANG BESAR: Penduduk Rancangan Perumahan Awam (RPA) Beseri Paya dan Kampung Bukit Merah kini boleh menarik nafas lega apabila kawasan mereka bebas daripada banjir kilat, susulan hampir siap projek perparitan di Kampung Bukit Merah.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun, merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Bahagian Pembangunan Daerah (BPD) atas peruntukan yang disalurkan pada tahun ini untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Sejak awal saya memegang tanggungjawab sebagai wakil rakyat, saya telah memohon peruntukan untuk menangani masalah banjir kilat di RPA Beseri Paya dan beberapa kawasan hotspot banjir di DUN Beseri,” katanya.

Projek yang bermula pada 17 Oktober lalu kini mencapai 80 peratus siap dan dijangka selesai mengikut jadual.

Ia diharap dapat memastikan masalah banjir kilat di Kampung Bukit Merah dan RPA Beseri Paya dapat ditangani sepenuhnya.

Selain itu, dua projek tambahan bagi meningkatkan kemudahan penduduk dan mengurangkan risiko banjir juga telah siap mengikut jadual yang ditetapkan.

Dua projek itu ialah membesarkan ‘side table’ di jalan Kampung Padang Malau dan meluaskan longkang di Kampung Tunjong.

“Alhamdulillah, kedua-dua lokasi ini tidak mengalami banjir kilat pada kali ini,” tambahnya.

Beliau turut memaklumkan, usaha cucian besar-besaran yang dilakukan oleh JPS berjaya mengatasi banjir di lokasi-lokasi seperti Alor Kangar dan Kampung Bukit Kedak, yang sebelum ini sering dilanda banjir setiap tahun.

“Kebanyakan kawasan ini terjejas akibat longkang dan parit tersumbat. Selepas cucian dilakukan, alhamdulillah kali ini kita nampak hasilnya,” katanya lagi.

Dalam usaha membantu mangsa banjir dan dalam kalangan yang terkesan bencana ini, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menerusi akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 29/11/2024

- Advertisement -