Bekas Menteri Besar hargai para petugas keselamatan

- Advertisement -

TUMPAT: Bekas Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, merakamkan penghargaan kepada semua petugas keselamatan   pelbagai peringkat yang telah menjalankan tugas dengan sangat baik membantu mangsa banjir.

Katanya, petugas keselamatan khususnya pasukan beruniform seperti anggota polis, Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lain-lain telah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

“Saya juga mengucapkan terima kasih pada ketua-ketua jajahan dan majlis daerah, penghulu kampung yang turut memainkan peranan yang sama ketika menjalankan tugas masing-masing.

- Advertisement -

“Begitu juga petugas dalam jajahan Tumpat ini, saya ucapkan terima kasih pada semua kerana sentiasa setia, tekun menjalankan tugas dengan penuh amanah,” katanya ketika ditemui sewaktu meninjau perkembangan Sungai Kelantan di Laman Warisan Kampung Laut hari ini.

Terdahulu beliau yang juga ADUN Pasir Pekan menyantuni mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan untuk bertanya khabar serta menghulurkan sumbangan.

Seramai 213 orang mangsa banjir dari dalam DUN berkenaan ditempatkan di PPS tersebut dan beliau turut mengingatkan orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan banjir supaya sentiasa mengikut arahan pihak berkuasa.

“Kalau mereka suruh pindah kita pindah dan waktu nak berpindah tu sebaiknya sebelum Maghrib.

“Banjir kali ini di luar jangka biasa banjir berlaku setelah hujan lebat dari sebelah hulu melalui gumpalan awan yang ditiup angin, tetapi banjir tahun ini berlaku melalui hujan yang turun di sebelah pantai,” katanya.

Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana ini, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menerusi akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 28/11/2024

- Advertisement -