
ALOR SETAR: Daripada 5,499 unit rumah mampu milik (RMM) yang disasarkan, 1,970 unit telah siap dibina, demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria.
Jumlah berkenaan katanya, menunjukkan Kerajaan Negeri telah mencapai 91 peratus pembinaan rumah mampu milik dalam tempoh 2023 hingga 2024.
“Berdasarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 15 lalu, Kerajaan Negeri telah menyasarkan sebanyak 15,000 unit rumah menjelang 2030.
“Sementara mengikut rekod data yang ada, keseluruhan jumlah rumah mampu milik yang dirancang 2023 hingga 2024 adalah sebanyak 5,499 unit,” jelasnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Khairul Anwar Ramli (PN-Lunas) yang ingin penjelasan pencapaian tersebut dari tahun 2023 hingga 2024, sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Kata Mansor lagi, pada masa kini, harga rumah mampu milik di Kedah berharga RM200,000 dan ke bawah serta mempunyai tiga kategori iaitu rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan kos sederhana.
“Jika diambil kira purata setahun pembinaan rumah mampu milik ini, ia beranggaran 2,142 unit setahun. Daripada 5,499 unit tersebut, sebanyak 3,141 unit telah memperoleh Kebenaran Merancang (KM) di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Manakala, 2,358 unit rumah pula telah diluluskan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Kedah pada tahun ini,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 25/11/2024




















