
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa pihak kerajaan membuat siasatan secara telus dan terperinci terhadap krisis dalaman yang sedang berlaku dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
Pengarah Komunikasi Strategiknya, Nazrul Nazir dalam satu kenyataan berkata, DPPM mengambil maklum akan krisis dalaman yang sedang berlaku terhadap NAFAS, sehingga badan tersebut digantung perlembangaannya buat kali kedua.
“Berbagai kronologi dan rentetan berlaku dari krisis dalaman tersebut.
”Ia bermula dari kenyataan media penggantungan tugas Ketua Pengarah NAFAS, pemecatan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, pendedahan tentang salah laku dana yang disalurkan kepada kawasan Parlimen yang disandang oleh menteri tertentu, pendedahan isu kartel yang memonopoli ekosistem makanan, dan yang terbaru, penggantungan Perlembagaan NAFAS,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook DPPM.
Beliau berkata, DPPM percaya krisis dalaman ini harus diselesaikan dengan tuntas, secara profesional dan telus.
Katanya lagi, sudah pasti krisis dalaman ini memberi kesan yang besar kepada nasib peladang yang merupakan ahli NAFAS, serta merosakkan agenda reformasi di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Segala siasatan mesti dikendalikan dengan teliti serta dilakukan oleh badan profesional yang bebas dan berintegriti.
“DPPM turut kesal dengan tindakan Perdana Menteri dan laskar siber pro-kerajaan yang cuba mengalih isu pokok berkait dakwaan penyelewengan dana NAFAS dan isu kartel yang memonopoli ekosistem makanan, dengan cubaan memalitkan isu ini kepada kerajaan terdahulu.
“Tindakan sebegini amat tidak wajar dan tidak profesional sebagai kerajaan memerintah, yang mempunyai segenap kuasa untuk melakukan penyiasatan tanpa menimbulkan persepsi kepada pihak lain,” ujarnya.
Tambah Nazrul lagi, DPPM turut menggesa kerajaan membuat siasatan secara telus dan terperinci berkaitan dakwaan ini dan menyerahkan kepada pihak berautoriti untuk tindakan susulan.
Katanya lagi, DPPM juga mengingatkan agar pihak kerajaan terlebih dahulu membuktikan melalui teladan dalam pelaksanaan agenda reformasi.
“Jangan kerana dakwaan ini melibatkan orang sendiri, akal yang cerdik serta mata yang celik ditutup serapat-rapatnya,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2024




















