DMPNS bimbang kesan penafian hak peruntukan MP pembangkang

Wan Hasrina Wan Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) melahirkan kebimbangan terhadap kesan penafian hak peruntukan kepada Ahli Parlimen (MP) wanita, terutamanya di pihak pembangkang susulan pengumuman Belanjawan 2025 baru-baru ini.

Ketua DMPNS, Wan Hasrina Wan Hassan berkata, pihaknya melihat isu ini sebagai satu langkah terkebelakang dalam usaha memperkasa wanita dan menjejaskan pembangunan sosioekonomi di peringkat akar umbi.

- Advertisement -

“DMPNS memahami bahawa pengurusan kewangan negara memerlukan perancangan yang teliti dan berhemat.  

“Namun, penafian hak  peruntukan pembangunan yang tidak diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang, khususnya wanita dilihat sebagai satu tindakan yang tidak wajar dan tidak sensitif terhadap keperluan khusus wanita dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Wan Hasrina, Ahli Parlimen wanita memainkan peranan penting dalam memahami dan menampung keperluan masyarakat di kawasan mereka, dan sering kali menjadi suara bagi golongan terpinggir, termasuk wanita, kanak-kanak perempuan, dan keluarga kurang berkemampuan.

Justeru, menurut beliau, penarikan peruntukan ini secara langsung menjejaskan keupayaan mereka untuk melaksanakan program pembangunan yang bermanfaat, khususnya yang menyentuh isu-isu keprihatinan wanita seperti keganasan rumah tangga, kesejahteraan wanita, penjagaan kanak-kanak dan kesihatan reproduktif.

“DMPNS menyeru kerajaan supaya mempertimbangkan semula keputusan ini dan mencari mekanisme alternatif untuk memastikan Ahli Parlimen wanita masih dapat melaksanakan tanggungjawab dalam membangunkan masyarakat.  

“Kami mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan peruntukan khusus bagi program pembangunan wanita yang diuruskan oleh Ahli Parlimen wanita.

“DMPNS juga berharap agar kerajaan melibatkan wakil wanita dalam proses perancangan dan penggubalan dasar berkaitan belanjawan pada masa hadapan bagi memastikan keperluan wanita dipertimbangkan secara menyeluruh,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2024

- Advertisement -