
KUALA LUMPUR: “Akhirnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua kawasan pangsapuri kuarters penjawat awam Putrajaya.”
Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, cadangan tersebut sudah lama diusulkan oleh Putrajaya Care susulan daripada sesi perjumpaan dengan sahabat-sahabat komuniti Putrajaya itu sendiri.
“Pertanyaan saya terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengenai perkara tersebut telah pun dijawab ketika sidang Dewan Rakyat semalam,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Menurut beliau, Putrajaya Care juga ada mencadangkan agar CCTV ini didaftarkan sebagai sebahagian daripada aset berdaftar bawah Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH).
“Selain pemasangan CCTV, kami juga ada mencadangkan agar CCTV ini didaftarkan sebagai sebahagian daripada aset berdaftar bawah Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Ini bertujuan supaya dapat diselenggara secara berterusan bagi memastikan CCTV berfungsi dengan baik demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
“Pihak kami juga sering mendapatkan maklum balas mengenai status perkara ini,” ujarnya yang juga yang juga merupakan ahli Parlimen Putrajaya.
Sehubungan itu, Radzi menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) telah pun menyatakan persetujuan mengenai perkara tersebut.
“Alhamdulillah, beliau telah menyatakan komitmen dan persetujuan untuk mengambil tindakan susulan dalam masa terdekat.
“Semoga segala usaha untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan penduduk Putrajaya dapat berjalan lancar, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024




















