Provokasi perkauman: Rakyat Malaysia digesa tidak terpengaruh

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa seluruh rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi perkauman yang sengaja dicetuskan sesetengah pihak.

Ketuanya, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, DUPP turut berharap agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya lebih proaktif dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana aktiviti yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dalam negara ini.  

- Advertisement -

“Perkembangan yang berlaku sejak akhir-akhir ini boleh mengundang kepada situasi yang lebih meruncing jika tidak ditangani secara tegas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Pesuruhjaya PAS Kedah itu, apa yang kelihatan secara zahir ketika ini adalah suatu bentuk provokasi demi provokasi yang melanggar sempadan perkauman, agama dan negara.

Oleh itu katanya, DUPP menyarankan agar semua pihak tidak mencurah minyak ke dalam api sehingga boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat. 

“Namun, hal yang demikian juga memerlukan ketegasan pihak berkuasa menangani isu-isu yang bersifat provokasi serta subversif yang berlaku ketika ini,” katanya. 

Terdahulu, media tempatan melaporkan isu pengibaran bendera China di Teluk Intan telah mencetuskan kontroversi apabila video peserta perarakan yang mengibarkan bendera tersebut tular. 

Perarakan itu dilaporkan adalah merupakan sebahagian daripada sambutan kebudayaan Guan Gong Sedunia, yang turut disertai oleh peserta dari beberapa negara, termasuk China, Vietnam, dan Thailand. 

Perarakan tersebut juga menimbulkan reaksi dari PAS Perak, yang mendesak agar pihak berkuasa menyiasat insiden itu. 

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, perkara itu menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949, iaitu tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

Terbaharu, turut dilaporkan dua lelaki telah ditahan polis selepas tular video mereka meletakkan kepala babi di sebuah kedai roti canai di Bandar Teknologi Kajang, Selangor. 

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, insiden itu berlaku pada 11 Oktober 2024, dan rakaman CCTV menunjukkan kedua-dua lelaki berusia 35 dan 51 tahun itu memakai baju hitam serta topi keledar ketika memasuki kedai dan meletakkan kepala babi di atas kabinet dapur roti canai tersebut.

Pemilik kedai, seorang lelaki berusia 18 tahun, segera melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa. 

Bertindak atas laporan, polis menahan kedua-dua suspek pada 15 Oktober. 

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 298/427 Kanun Keseksaan, yang melibatkan perbuatan berniat jahat dan penghinaan, dengan hukuman berpotensi berupa penjara atau denda. – HARAKAHDAILY 28/10/2024

- Advertisement -