Isu bendera China: Fadhli bidas ahli akademik kecam Razman

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari membidas satu ulasan politik oleh seorang profesor yang mengecam keras Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berhubung insiden pengibaran bendera China di sebuah festival di Teluk Intan, Perak bulan lalu.

Menurut Fadhli, ahli akademik berkenaan lebih layak bercakap mengenai bidang yang dikuasainya, iaitu senibina dan tidak menyentuh bidang-bidang lain yang di luar kemahirannya.

- Advertisement -

“Saya yakin, ramai yang mengerutkan dahi barangkali apabila membaca ulasan politik daripada individu yang dikatakan ‘ahli akademik’ ini.

“Sewajarnya, sebagai seorang yang memakai gelaran profesor, beliau lebih layak bercakap tentang bidang yang dikuasai, iaitu senibina, bukannya menyentuh bidang-bidang lain yang di luar kemahirannya.

“Jika ia dilakukan, pada saat itu ia bukan lagi pandangan akademik, tetapi sudah menjadi ulasan politik,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Tambah Fadhli, profesor tersebut gagal memahami kaitan di antara tentangan PAS terhadap aktiviti mengibarkan bendera asing, yang merupakan kesalahan di bawah Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193), Seksyen 3 dengan sejarah panjang tamadun Islam yang disentuh oleh ahli akademik berkenaan.

“PAS tidak pernah menyentuh isu berkaitan sejarah itu, tidak pula mengisytiharkan diri sebagai parti yang anti negara China. 

“Hanya PAS melahirkan kebimbangan kenapakah berturut-turut insiden mengibarkan bendera asing ini berlaku dan hanya melibatkan negara yang sama. 

“Bermula aksi mengibarkan bendera di sekolah, kemudian di Teluk Intan dan berlaku juga di Johor, bukankah ia kelihatan seperti satu provokasi yang terancang?” soalnya.

Tegas beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas, segala hujahan yang dikemukakan oleh ahli akademik berkenaan telah jauh tersasar daripada situasi sebenar yang berlaku.

“Begitulah jauh sangat tersasar hujah dari Profesor ini apabila berhujah di luar bidang kemahiran. Saya cadangkan beliau tumpukan kepada kerja-kerja akademik, termasuk penulisan artikel dan kajian ilmiah di dalam bidang itu, yang boleh dilihat prestasinya di dalam Google Scholar.

“Jika tidak, saya bimbang ia menjadi ulasan politik yang songsang. Jika di zaman saya kanak-kanak dulu ada satu majalah lawak jenaka yang mempunyai watak, Profesor Serba Tahu. Saya yakin profesor ini tiada kaitan dengan watak itu,” katanya.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria telah mendapat kecaman keras daripada ulasan berkenaan, susulan ahli akademik berkenaan dalam kenyataan medianya antara lainnya telah menyatakan “Pemimpin seumpama itu bukanlah seorang patriot atau pejuang bangsa dan agama, tetapi sebaliknya seorang oportunis yang memalukan”. – HARAKAHDAILY 28/10/2024

- Advertisement -