
KEMATIAN pemimpin Hamas, Yahya Sinwar pada minggu lalu, tidak akan mengendurkan penentangan pergerakan itu terhadap rejim Israel atau membuatkan pejuang Hamas terkesan.
Yahya Sinwar dilantik memimpin pergerakan tersebut pada awal bulan Ogos lalu menggantikan Ismail Haniyeh hanya dalam tempoh kira-kira seminggu selepas beliau terkorban di Tehran pada 31 Julai 2024.
Ini memberi isyarat bahawa Hamas sudah siap melatih ramai calon pemimpin yang bersedia menjadi pengganti jika terdapat pemimpin mereka yang luka atau terkorban syahid dalam pertempuran.
Selepas gugurnya Yahya Sinwar, Hamas melihat pembunuhan pemimpin mereka sebagai pembakar semangat untuk terus berjuang. Demikian menurut Timbalan Ketua Biro Politik Hamas, Khalil Al-Hayya dalam ucapannya pada 20 Oktober lalu,”Bahawa darah (Yahya Sinwar) yang tumpah ini akan menerangi jalan (perjuangan) dan menjadi dorongan agar kami lebih tabah dan tekun.
Sesungguhnya pergerakan Hamas akan meneruskan tekad para pemimpin dan syuhada serta rakyat kita, demi berdirinya negara Palestin di seluruh tanah air dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.”
Antara persoalan yang hangat diperbincangkan kini ialah siapakah yang akan menggantikan jawatan pemimpin utama Hamas itu?
Khalil al-Hayya sendiri dilihat berpotensi sebagai pengganti kepada bekas ketuanya, Yahya Sinwar. Beliau yang mempunyai pengalaman sebagai ahli parlimen di Gaza dilihat sesuai kerana peranannya kini berpusat di Qatar mengetuai proses perundingan gencatan senjata. Itu pun, jika Hamas ingin kembali ke jalan diplomasi yang dirintis oleh Ismail Haniyeh sebelum ini.
Sekiranya Hamas memilih untuk meneruskan legasi Yahya Sinwar untuk tidak berkompromi dengan rejim musuh, calon seterusnya ialah Mohammed Sinwar, adik kepada Yahya Sinwar. Beliau yang kini dinaikkan ke jawatan salah satu pemimpin pergerakan itu berkemungkinan besar menandakan kesinambungan pendekatan abangnya terutama dalam isu berhubung rundingan gencatan senjata.
Selain itu turut disebut ialah Dr Mahmoud al-Zahar, salah seorang pengasas Hamas yang dikenali dengan pendirian tegas dan pandangannya yang konservatif. Beliau merupakan tokoh kanan dalam kepimpinan politik Hamas dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar pada era kepimpinan Ismail Haniyeh. Dr Mahmoud pernah diancam nyawanya, namun terselamat daripada beberapa percubaan pembunuhan oleh Israel pada tahun 1992 dan 2003.
Beliau sebelum ini bekerja sebagai doktor perubatan di Gaza dan menubuhkan beberapa badan kebajikan perubatan. Sejak tercetusnya serangan Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023, beliau tidak pernah kelihatan membuat sebarang kenyataan.
Terdapat pengamat politik yang melihat calon lain ialah Musa Abu Marzouk, seorang tokoh kanan dalam Biro Politik Hamas yang memainkan peranan penting dalam penubuhan dan penyelarasan Hamas. Beliau pernah menghadapi tuduhan mengatur serangan keganasan dan diusir dari AS pada 1990-an.
Tidak ketinggalan ialah bekas Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Mashal yang kini hidup dalam buangan di Qatar. Beliau pernah memimpin Hamas dan menjadi jurucakap Hamas di peringkat antarabangsa selama lebih sedekad, namun hubungannya dengan Iran menjadi tegang akibat sokongannya kepada pembangkang di Syria. Ini menjadikannya calon yang kurang berpotensi untuk menggantikan Yahya Sinwar.
Turut dipertimbangkan ialah Mohammed Deif, komandan sayap tentera Hamas, Briged Izz al-Din al-Qassam yang juga dilaporkan perancang bersama Yahya Sinwar dalam serangan 7 Oktober 2023.
Akan tetapi statusnya menjadi tanda tanya sama ada masih hidup atau telah terkorban syahid dalam serangan beberapa bulan yang lalu. Beliau adalah pemimpin Hamas yang boleh dianggap sebagai veteran utama dalam operasi ketenteraan Hamas.
Namun, terdapat kemungkinan juga Hamas tidak akan menamakan pemimpin pada masa terdekat memandangkan faktor keselamatan. Situasi seperti ini pernah berlaku selepas pembunuhan pemimpin spiritual Hamas, Syeikh Ahmed Yasin pada 22 Mac 2004 dan Abdul Aziz al-Rantisi pada 17 April 2004).
Apa pun strategi yang diambil oleh pihak Hamas tentulah mempunyai impak yang besar bagi perjuangan rakyat Palestin dan para pendukungnya dari seluruh dunia Islam. Terutamanya dalam situasi yang sangat genting pada ketika ini. – HARAKAHDAILY 25/10/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















