
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan bahawa beliau telah menyeleweng dana 1MDB semasa pentadbirannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Najib yang diwakili anak sulungnya, Dato’ Nizar Najib berkata, bapanya itu turut menzahirkan rasa terluka selepas mengetahui bahawa segala kecurangan yang berlaku di 1MDB terjadi semasa pemerintahannya.
“Setiap hari saya berasa amat terluka mengetahui bahawa segala kecurangan dalam 1MDB berlaku semasa di bawah pengawasan saya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.
“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,’ katanya dalam sidang media di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Nizar, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa mantan Perdana Menteri itu tidak terlibat di dalam penyelewengan dana 1MDB, sebaliknya telah menjadi mangsa susulan perkara berkenaan.
“Perbicaraan mahkamah baru-baru ini dan sabitan kes terhadap eksekutif PetroSaudi di mahkamah Switzerland, dan artikel yang dikeluarkan oleh The Edge berdasarkan kepada analisa terhadap kes tersebut, serta e-mel dalaman PetroSaudi sekali lagi membuktikan bahawa saya bukan lah dalang dan tidak bersubahat dengan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB.
“Rumusan yang dikeluarkan oleh The Edge telah menyatakan bahawa PetroSaudi dan Jho Low bersubahat untuk memperdayakan saya.
“Saya tidak sedar bahawa PetroSaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya tidak langsung mengetahui bahawa saya telah menerima wang daripada dana yang telah dihantar oleh 1MDB kepada PetroSaudi,” katanya.
Tambah Nizar, bekas perdana menteri itu ketika pemerintahannya sekadar mempercayai bahawa dana yang diterimanya adalah merupakan sumbangan politik daripada kerajaan Arab Saudi.
“Walaupun sukar bagi sesetengah pihak untuk memahami, saya telah dinasihati dan dengan jujur mempercayai pada masa itu bahawa dana yang saya terima adalah sumbangan politik daripada kerajaan Arab Saudi.
“Seperti mana yang telah ditetapkan dalam prosiding mahkamah, memang terdapat dua sumbangan besar yang disahkan pada 2010, diterima daripada kerajaan Arab Saudi.
“Sumbangan tersebut tidak pernah menjadi mana-mana subjek dalam prosiding jenayah ataupun sivil,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2024




















