Filipina: Ribut Tropika Trami ragut 26 nyawa

Pihak keselamatan Filipina membawa keluar mangsa yang terperangkap di kediamannya di daerah Libon yang dinaiki banjir selepas dilanda Ribut Tropika Trami. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

MANILA: Ribut Tropika Trami yang melanda Filipina telah membunuh sekurang-kurangnya 26 orang dan memaksa lebih 150,000 meninggalkan rumah mereka serta mengakibatkan kejadian tanah runtuh di pantai timur laut negara itu.

Trami, dikenali sebagai ribut tropika Kristine yang teruk telah menghasilkan hujan lebat di pulau utama Luzon dan mencetuskan banjir dan tanah runtuh di kebanyakan tempat.

- Advertisement -

Agensi cuaca Filipina dalam kenyataannya berkata, dengan angin berkelajuan maksimum 95 kilometer sejam, ribut itu telah bergerak ke arah barat merentasi kawasan pegunungan utara Cordillera menuju ke Laut China Selatan, lapor Al Arabiya.

Kenyataan itu turut memberi amaran tentang hujan lebat berpanjangan, banjir, tanah runtuh dan lonjakan ribut untuk beberapa wilayah di utara negara berkenaan.

Sementara itu, pejabat pertahanan awam Filipina memaklumkan lebih 163,000 mangsa berteduh di pusat pemindahan yang kebanyakannya berada di Bicol selepas penduduk meninggalkan rumah mereka yang dinaiki air setinggi bumbung rumah.

Kebanyakan kematian akibat insiden ribut Trami sejak beberapa hari lalu adalah disebabkan oleh lemas dan tanah runtuh di wilayah Bicol tengah, termasuk bandar Naga di mana 14 dilaporkan terkorban pada Khamis.

Ribut tropika itu mengakibatkan pihak kerajaan mengarahkan perniagaan dan sekolah di kawasan dilanda ribut ditutup, berpuluh-puluh penerbangan di seluruh negara dibatalkan, selain bank pusat yang membatalkan perdagangan pertukaran asing dan operasi monetari untuk hari kedua berturut-turut.

Filipina kebiasaannya merekodkan purata 20 ribut tropika setiap tahun, yang selalunya mengakibatkan hujan lebat, angin kencang dan tanah runtuh sehingga membawa maut. -Agensi/– HARAKAHDAILY 11/10/2024

- Advertisement -