Projek tebatan banjir Selangor: Nushi hadiri JPK-INFRAgro

Nushi Mahfodz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz  telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK-INFRAgro) bagi membincangkan projek-projek tebatan banjir di Selangor, dengan tumpuan khusus kepada daerah-daerah yang sering dilanda banjir.

Beliau berkata, fokus utama mesyuarat adalah memastikan pelaksanaan projek infrastruktur ini dapat berjalan lancar dan memberi impak positif kepada rakyat, terutama mereka yang berulang kali terjejas.

- Advertisement -

“Hulu Langat, sebagai contoh, kini mempunyai beberapa projek dalam peringkat pra-pelaksanaan yang bertujuan untuk menaik taraf sistem saliran di Kampung Rinching, Kampung Sungai Lemas, dan Kampung Dusun Tua.

“Tambahan pula, pembinaan kolam takungan baharu dan rumah pam juga sedang dirancang,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Menurut Nushi yang juga merupakan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, usaha berkenaan memerlukan pemantauan rapi dan harus dijalankan secara profesional, tanpa kompromi terhadap integriti.

“Seringkali, gangguan disebabkan oleh kerja-kerja penaiktarafan utiliti yang tidak terancang serta kelemahan pentadbiran apabila pegawai-pegawai kerap bertukar tanpa penyerahan tugas yang jelas.

“Malah, sikap sesetengah pihak yang ‘bekerja pada waktu senja’  mengakibatkan banyak perancangan perlu dimulakan semula, seolah-olah tiada kesinambungan.

“Lebih membimbangkan, campur tangan politik yang tidak wajar dari pihak berkepentingan sering kali menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek,” jelasnya.

Justeru,sebagai wakil rakyat beliau menaruh harapan agar kerjasama erat antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Pusat Khidmat ADUN dapat diperkukuhkan tanpa sentimen politik.

“Kita harus memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat. Keterbukaan dalam perkongsian maklumat serta kemajuan projek perlu ditingkatkan untuk memastikan semua pihak bergerak ke arah yang sama.

“Penduduk yang terkesan berulang kali oleh bencana banjir juga perlu diberi ruang untuk bersuara. Dengan melibatkan mereka dalam perbincangan, kita dapat memastikan langkah-langkah yang diambil lebih berkesan dalam jangka masa panjang.

“Semoga segala usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan terus memberi manfaat besar kepada rakyat Selangor.

“Saya akan terus memainkan peranan memastikan isu-isu ini dipantau dan disuarakan, selari dengan komitmen kami dalam mendukung #BaktiDemiSelangor demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2024

- Advertisement -