
KUALA LUMPUR: “Penyasaran subsidi petrol RON95 adalah bukti yang jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak memahami denyut nadi rakyat.”
Pemuda PAS Malaysia berkata, Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan akan melaksanakan penyasaran tersebut pada tahun hadapan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat (18 Oktober) lalu.
“Ini bermakna penyasaran subsidi petrol RON95 dilakukan selepas genap setahun pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurut kenyataan itu, banyak permasalahan dan kelompongan masih berbangkit berikutan sistem pelaksanaannya yang masih belum matang.
Tambahnya, perkara sebegini sememangnya berlaku meskipun penyasaran subsidi diesel telah dilaksanakan hampir setengah tahun.
“Antaranya ialah masalah penyaluran bantuan RM200 melalui Program Bantuan Subsidi Madani (BUDI Madani) yang tidak setimpal kepada golongan bersasar.
“Selain itu, kesan inflasi dan kesan berangkai dalam sektor-sektor seperti perkhidmatan, makanan siap dan logistik sedang membelenggu rakyat.
“Walaupun begitu, tiada langkah penyelesaian yang konkrit daripada kerajaan yang mana mereka akan terus melaksanakan dasar-dasar baharu yang akan membebankan rakyat.
“Ini memberi gambaran jelas bahawa kerajaan kurang prihatin terhadap permasalahan rakyat dan tidak menghayati denyut nadi marhaen,” ujarnya.
Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia menyatakan bahawa terhadap kajian yang dilakukan oleh Malaysia Institute of Economic Research (MIER) mengenai realiti kehidupan rakyat negara ini.
Katanya lagi, keputusan kajian tersebut menunjukkan bahawa realiti kehidupan rakyat adalah jauh berbeza daripada data yang dipaparkan oleh pihak kerajaan itu sendiri.
“Rakyat telah lama menyuarakan derita yang mereka tanggung namun suara mereka sering diabaikan dan dilabel sebagai persepsi oleh laskar siber pro-kerajaan.
“Oleh hal demikian, langkah meneruskan penyasaran subsidi petrol RON95 membuktikan bahawa kerajaan pada hari ini bersifat syok sendiri.
“Ini kerana mereka banyak bergantung kepada data yang kurang tepat dikeluarkan oleh pengkaji bersumberkan internet berbanding dengan laporan sebenar daripada pihak yang dipercayai berkaitan penderitaan rakyat dalam menanggung bebanan kos sara hidup,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2024




















