‘Kerajaan jangan ambil mudah ancaman maritim negara ini’

Kapal China Coast Guard yang berlegar di kawasan Laut China Selatan. (FOTO: Defense Security Asia)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kerajaan jangan mengambil mudah dalam meneliti ancaman terhadap kedaulatan wilayah maritim negara ini.”

Ketua Portfolio Hubungan Antarabangsa Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau dimaklumkan oleh rakan-rakan seperjuangannya mengenai kenyataan dibuat oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

- Advertisement -

“Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias ketika sesi jawab lisan nombor satu bertanya kepadanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Alor Gajah mengenai situasi keselamatan di Zon Maritim Malaysia (ZMM).

“Perkara tersebut adalah susulan insiden pencerobohan kapal frigat Tentera Laut China dan juga pasukan pengawal pantai China (Chinese Coast Guard) di Laut China Selatan.

“Namun begitu, beliau menyatakan bahawa kawasan Laut China Selatan sekarang berada dalam keadaan ‘selamat, terkawal dan terbuka’,” kata Fahysal dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, jawapan sebegitu menunjukkan Timbalan Menteri Pertahanan tersebut secara tidak langsung telah merendahkan darjah ancaman keselamatan di ZMM terutama di kawasan Luconia Shoals atau Beting Patinggi.

Tambahnya, ini termasuklah jawapannya yang menyatakan kehadiran kapal milik Republik Rakyat China (RRC) di kawasan tersebut hanya terhad dari jenis Chinese Coast Guard dan bukannya kapal Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (PLAN).

“Ini adalah satu kenyataan yang salah sama sekali dan amat berbahaya, mengambil kira kehadiran kapal-kapal dari RRC di ZMM bukan hanya terhad kepada pasukan pengawal pantai.

“Tambahan pula, ia turut terdiri daripada kapal PLAN serta China Maritime Safety Agency (CMSA) termasuk pasukan para-militer yang terdiri dari kalangan nelayan-nelayan RRC yang menangkap ikan secara haram di ZMM.

“Kehadiran kapal-kapal China ini juga bersifat agresif dan ini dapat dibuktikan dengan insiden West Capella pada tahun 2020 iaitu ketika kapal penyelidik dari PETRONAS (West Capella) yang membuat penyelidikan laut dalam di ZMM.

“Mereka telah diganggu secara agresif selama berhari-hari oleh kapal-kapal pengawal pantai dari China yang juga disokong secara bersepadu oleh kapal PLAN dan kapal nelayan para-militer China termasuk juga Tentera Udara RRC.

“Tidakkah Ahli Parlimen Alor Gajah sedar bahawa beliau selaku Timbalan Menteri Pertahanan hendaklah sentiasa peka dan berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan?

“Beliau perlu sentiasa mengambil maklum fakta ancaman terkini yang dihadapi oleh negara berkaitan kehadiran pasukan pengawal pantai dan juga tentera laut RRC di ZMM kerana ancaman ini adalah bersifat benar dan bukan polemik semata-mata,” ujarnya.

Sehubungan itu, Fayhsal menasihatkan Ahli Parlimen Alor Gajah supaya membetulkan kembali kenyataannya di Dewan Rakyat pada hari ini.

Beliau menyatakan, ini kerana RRC sentiasa memerhatikan secara dekat kesilapan kenyataan pegawai kanan Kerajaan Malaysia berkaitan isu Laut China Selatan sebagai sebahagian daripada strategi tindakan justifikasi mereka dalam melakukan sedemikian.

“Saya berpandangan beliau perlu memperbetulkan kembali kenyataannya di Dewan Rakyat pada hari ini mengambil kira pihak RRC sentiasa memerhatikan secara dekat kesilapan kenyataan pegawai kanan Kerajaan Malaysia berkaitan isu Laut China Selatan.

“Ini kerana RRC ingin menjadikan kesilapan sebegitu sebagai sebahagian daripada strategi tindakan justifikasi mereka untuk membuat ‘interpretasi kreatif’ bahawa kerajaan Malaysia tiada halangan terhadap kehadiran kapal-kapal RRC di dalam ZMM selagi ianya tidak bersifat agresif.

“Saya mencadangkan beliau turun meninjau di lapangan bagi melihat sendiri kehadiran Chinese Coastal Guard atau PLAN di dalam perairan Malaysia.

“Perkara sebegini perlu dilakukan supaya beliau insaf dan membuka mata bahawa ancaman yang dihadapi dari RRC ini bukan bersifat polemik tapi realiti yang benar,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/10/2024

- Advertisement -