
BEIRUT: Kumpulan pejuang Hizbullah berkata pihaknya telah melancarkan serangan roket pada awal Selasa di pangkalan tentera laut berhampiran bandar Haifa di utara Israel, sejurus selepas ia menyasarkan kedudukan di pinggir bandar Tel Aviv.
“Tembakan serentak roket menyasarkan pangkalan tentera laut Stella Maris di barat laut Haifa,” kata kumpulan pejuang itu dalam satu kenyataan.
Siren amaran dalam pada itu telah dibunyikan di kawasan Samaria, Modi’in Illit dan di tengah Israel ketika roket yang dikenal pasti melintasi Lubnan sebelum jatuh ke kawasan terbuka, lapor Al Arabiya.
Sistem pertahanan udara pelbagai lapisan pengganas rejim Zionis Israel sebelum ini telah memintas sebahagian besar peluru berpandu dan dron yang ditembak ke arahnya sejak permulaan konflik di Gaza tahun lalu.
Konflik antara Israel dan Hizbullah mula tercetus setahun lalu apabila kumpulan pejuang yang disokong Iran itu mula melancarkan roket ke utara Israel bagi menyokong kumpulan pejuang Hamas di Palestin pada permulaan konflik tersebut.
Ia semakin meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan Israel bertindak mengebom selatan Lubnan, pinggir selatan Beirut dan Lembah Bekaa, membunuh ramai pemimpin tertinggi Hizbullah serta menghantar tentera darat melintasi sempadan antara dua negara itu.
Sementara itu, Hizbullah dalam perjuangannya telah melancarkan pelbagai roket yang lebih jauh dan meluas ke dalam negara haram tersebut. – HARAKAHDAILY 22/10/2024




















