Hamas akan diketuai ‘jawatankuasa pemerintah, bukan ketua’ di Doha

Pendekatan pimpinan Hamas adalah untuk tidak melantik pengganti Allahyarham Yahya Sinwar dalam masa terdekat ini. (FOTO: Al Jazeera)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Dua sumber Hamas berkata, kumpulan Penentangan Islam Palestin sedang bergerak ke arah melantik jawatankuasa pemerintah yang berpangkalan di Doha, Qatar dan bukannya pengganti tunggal kepada ketuanya, Allahyarham Yahya Sinwar, yang dibunuh tentera Israel pada minggu lalu.

Sumber pertama berkata, pendekatan pimpinan Hamas adalah untuk tidak melantik pengganti Sinwar, sehingga pilihan raya akan datang yang dijadualkan pada Mac 2025, jika keadaan mengizinkan, lapor AFP.

- Advertisement -

“Sebuah jawatankuasa lima anggota yang ditubuhkan pada Ogos lepas berikutan pembunuhan Ketua Politik Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh di Tehran akan mengambil alih kepimpinan kumpulan itu,” tambah sumber itu.

Menurutnya lagi, jawatankuasa itu dibentuk untuk memudahkan membuat keputusan memandangkan kesukaran untuk berkomunikasi dengan Sinwar di Gaza sebelum kematiannya.

Sinwar dinamakan  ketua kumpulan Gaza pada 2017, sebelum bangkit menjadi ketua keseluruhan Hamas selepas Haniyeh dibunuh pada Julai tahun ini.

Sumber itu berkata, jawatankuasa itu dianggotai wakil dua wakil dari wilayah Palestin dan diaspora iaitu Khalil al-Hayya untuk Gaza, Zaher Jabarin untuk Tebing Barat dan Khaled Meshaal untuk rakyat Palestin di luar negara.

Ia juga termasuk ketua majlis penasihat Syura Hamas,  Mohammed Darwish dan setiausaha biro politik, yang tidak didedahkan atas sebab keselamatan.

Semua ahli jawatankuasa semasa berpangkalan di Doha, Qatar.

Menurut sumber itu juga, jawatankuasa itu ditugaskan untuk ‘mentadbir pergerakan semasa perang dan keadaan luar biasa, serta rancangan masa depannya’.

Tambah sumber berkenaan, ia diberikan kuasa untuk ‘membuat keputusan strategik’.

Satu lagi sumber pertubuhan itu berkata bahawa kepimpinan Hamas membincangkan cadangan yang dibuat ‘secara dalaman’ untuk melantik ketua politik tanpa mengumumkan nama mereka.

Namun  tambah sumber itu, para pemimpin lebih suka memerintah melalui jawatankuasa berkenaan.

Sinwar telah dibunuh oleh tentera Israel di selatan Gaza pada Rabu (16 Ogos) lepas, lebih setahun selepas perang dahsyat di wilayah itu yang bermula pada 7 Oktober tahun lalu, dengan lebih 42,600 orang telah terbunuh sejak itu, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas. -Agensi/– HARAKAHDAILY 22/10/2024

- Advertisement -