Tanggungjawab memulihara alam sekitar tak wajar dipolitikkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sempena Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 pada hari ini (21 Oktober) yang disambut setiap tahun, Lajnah Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (LASPI) PAS mengajak seluruh rakyat Malaysia memperbaharui tekad bagi memulihara alam sekitar.

Pengerusinya, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, tema sambutan HASN pada tahun ini, masih lagi seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama.  

- Advertisement -

“Jelas sekali, tema tersebut mengajak seluruh rakyat Malaysia menggembeling azam dan tenaga untuk memastikan alam sekitar kita sentiasa lestari,” katanya.

Menurut beliau, sempena dengan HASN 2024, LASPI PAS ingin menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia melihat kejadian-kejadian berkaitan bencana alam yang melanda negara kita mutakhir ini. 

“Beberapa tempat di Malaysia baru sahaja dilanda banjir yang menyebabkan kerugian harta yang besar. 

Sebelum ini, di ibu kota berlaku kejadian tanah jerlus sehingga mengorbankan satu nyawa. 

“Kita juga sudah beberapa kali menyaksikan kejadian kepala air, dan yang terbaru di Slim River, Perak,” ujarnya.

Justeru, kesemua kejadian tersebut  menurutnya mengingatkan manusia kepada firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah zahir kerosakan di daratan dan di lautan akibat dari tangan-tangan (tindak-tanduk) manusia, supaya Allah merasakan sebahagian akibat dari tindak tanduk mereka, moga-moga mereka kembali.”  (Al-Rum:41)

“Kejadian-kejadian yang berlaku ke atas kita, bukanlah medan untuk kita mencari salah antara satu sama lain. 

“Sebaliknya, semua pihak seharusnya merenung seterusnya melakukan islah bermula dengan diri sendiri, ahli keluarga, masyarakat setempat dan rakyat keseluruhannya ke arah memulihara alam sekitar bersama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa tanggungjawab memulihara alam sekitar tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya ia menjadi titik temu bagi seluruh rakyat Malaysia berganding bahu. 

“Maka, LASPI mengucapkan tahniah kepada Jabatan Alam Sekitar yang mewakili Kerajaan Malaysia dan juga agensi-agensi Kerajaan Negeri Kedah, yang telah bekerjasama erat menjayakan sambutan HASN di Langkawi. 

“Pemilihan Langkawi sebagai tapak sambutan mengingatkan kita semula kepada Deklarasi Langkawi 1989. Ia adalah simbolik untuk memperbaharui tekad kita bersama,” ujarnya.

LASPI juga, ujar Zuhdi,  tidak ketinggalan akan turut menganjurkan sambutan HASN pada 10 November 2024 di Selangor. 

“Sambutan HASN ini akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, yang juga mantan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Sehubungan itu LASPI menjemput seluruh rakyat Malaysia khususnya di Selangor menyertai sambutan HASN ini yang melibatkan kegiatan ‘kudah’ (kutip sampah sambil riadah) serta kegiatan-kegiatan lain yang memupuk kesedaran alam sekitar,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024

- Advertisement -