REE: Manfaatkan sumber kekayaan baru

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mencadangkan agar kerajaan segera memanfaatkan sumber kekayaan baru negara melalui perancangan dan pelaksanaan yang teliti, terutamanya dalam industri unsur nadir bumi (REE).

Menurut Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini tidak memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan sumber REE yang berpotensi besar untuk masa depan ekonomi Malaysia.

“Alhamdulillah Allah telah menganugerahkan negara ini dengan sumber alam yang tidak ternilai harganya. REE dikenal pasti berada di lima negeri yang besar iaitu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak, di mana tiga daripada negeri tersebut adalah di bawah kerajaan PN.

- Advertisement -

“Pada ketika ini industri ini di dominasi oleh negara China yang menguasai lebih daripada 80 peratus pengeluaran global, dengan nilai pasaran tahunan melebihi USD13 bilion, diikuti oleh negara Chile.

“Maka saya memohon potensi besar ini harus diambil kira oleh Yang Amat Berhormat Tambun kerana elemen-elemen REE adalah merupakan komoditi masa hadapan yang mempunyai nilai yang sangat tinggi di pasaran,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2025, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurut beliau, REE boleh menjana pendapatan negara, dengan mengambil contoh elemen neodymium yang kini bernilai sehingga USD60,000 permetrik tan di pasaran antarabangsa.

“Maka kalau ini masa depan yang baik harus kita gunakan dan berikan penekanan untuk menentukan bahawa ada masa depan tentang projek seperti ini yang kita boleh luaskan dalam negara kita,” katanya.

Sementara itu, Hamzah turut mempersoalkan perkembangan pemetaan REE yang dijanjikan kerajaan pada September 2023.

“Adalah mengecewakan apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri hanya mengumumkan pindaan Akta Pembangunan Mineral 1994, tetapi masih belum memulakan langkah konkrit untuk pemetaan REE secara tersusun,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024

- Advertisement -