
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk segera membatalkan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) susulan pengambilan penuh BlackRock Inc. ke atas Global Infrastructure Partners (GIP) pada 1 Oktober lalu.
Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkata, tindakan berkenaan perlu diambil tanpa sebarang kompromi demi kepentingan dan keselamatan negara.
“MAHB aset strategik berkaitan keselamatan negara yang tidak boleh dibenarkan dimiliki entiti asing. Lebih-lebih lagi BlackRock selaku military industrial complex merupakan penyumbang kepada genosida di Gaza dan kini diperluaskan pula ke Lubnan, selain mengheret Syria dan Yaman.
“Pada masa yang sama, MAHB bukan itik atau ayam pencen, tetapi merupakan ‘angsa emas’ yang memberi banyak telur kepada ekonomi negara.
“Mengapa harus kita jual angsa ini yang memberi keuntungan kepada negara? Itu persoalannya. Jangan sampai rakyat melihat ada udang di sebalik batu,” katanya yang juga Ketua Pembangkang ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menyentuh mengenai penggantungan selama enam bulan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas menyentuh mengenai penjualan saham MAHB sebelum ini.
“Ahli Parlimen Machang bangkitkan isu ini berkali-kali adalah kerana beliau yakin bahawa aset ini adalah aset terpenting negara, tidak boleh dijual kepada mana-mana negara luar.
“Itu kehendak kita dan harus dipertahankan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024











