PPS mampu muat 186,440 mangsa banjir

Rohani Ibrahim
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan membuat persiapan untuk membuka 459 Pusat Perpindahan Sementara (PPS) yang boleh memuat 186,440 mangsa banjir bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi.

Jumlah berkenaan lebih besar berbanding sebelumnya iaitu sebanyak 214 PPS dengan jumlah mangsa seramai 46,618 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, JKM dalam proses menyediakan 17 stor dan Depot Simpanan Keperluan Bencana.

Menurutnya, pada masa yang sama juga sebanyak 160 pangkalan hadapan diwujudkan yang akan diselaraskan pegawai JKM daerah dan ketua komuniti termasuk penghulu.

- Advertisement -

“Sekarang kita berada di Fasa Peralihan Monsun dan belum masuk Monsun Timur Laut yang dijangka bermula minggu pertama November ini,” katanya ketika merasmikan Taklimat dan Penyelarasan dan Kesiapsiagaan Kebajikan Menghadapi MTL di sebuah hotel, di sini semalam.

Rohani juga berkata,  di peringkat negeri, kerajaan membuat persediaan antaranya mengadakan mesyuarat pengurusan kebajikan bencana, latihan kesiapsiagaan sukarelawan menghadapi bencana bersama NGO.

Di samping itu persediaan Bilik Operasi MESRA, pencarian petugas dan sukarelawan bencana, mesyuarat dan perbincangan berkala bersama JKM serta lawatan ke depoh JKM bagi memantau persediaan bekalan.

“Taklimat hari ini, saya harap dapat membantu semua DUN merangka dan mempersiapkan apa sahaja keperluan untuk memastikan kesiapsiagaan rakyat dan agensi berkaitan di DUN masing-masing,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024

- Advertisement -