Ismi sertai misi bersih banjir di Kampung Bakong

Ismi (dua dari kiri) turun padang dalam misi membantu mangsa-mangsa banjir di Kampung Bakong, Parit, Perak.
- Advertisement -

PARIT: Ahli Parlimen Parit, Ustaz Ismi Muhammad Ismi Mat Taib bersama-sama dengan Jabatan Amal Parit dan masyarakat setempat telah menggerakkan misi membantu mangsa-mangsa banjir di Kampung Bakong.

Menurutnya, usaha berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Operasi Cuci Rumah yang bertujuan meringankan beban rakyat yang terkesan selepas bencana banjir yang berlaku baru-baru ini. 

- Advertisement -

“Dalam operasi yang dijalankan, saya bersama pasukan sukarelawan terlibat secara aktif dalam kerja-kerja mencuci rumah mangsa banjir. 

“Kami membersihkan bahagian-bahagian rumah yang dipenuhi lumpur dan sisa banjir, termasuk kawasan dapur dan ruang tamu yang rosak akibat air naik. 

“Di samping itu, masyarakat setempat pula turut membantu pihak kami membersihkan peralatan dapur, membuang air yang bertakung, serta mengemas kawasan yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Tambah beliau, Operasi Cuci Rumah ini bukan sahaja membawa manfaat dari segi fizikal kepada mangsa, tetapi juga memberikan sokongan moral kepada mereka yang terjejas. 

“Operasi yang dilaksanakan ini menjadi penghubung antara masyarakat setempat bersama pimpinan tempatan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang turut serta dalam operasi ini, khususnya kepada Jabatan Amal Parit yang memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha ini. 

Beliau juga memuji kesepakatan komuniti setempat yang tampil membantu tanpa mengira latar belakang, menunjukkan semangat persaudaraan yang tinggi.

“Saya sangat menghargai usaha dan pengorbanan semua yang hadir hari ini. 

“Ini adalah contoh terbaik kesepakatan dalam komuniti kita, di mana ketika bencana melanda, semua pihak berganding bahu untuk membantu sesama kita. 

“Semoga Allah membalas jasa baik semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/10/2024

- Advertisement -