RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu diperhalusi

Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu diperhalusi lagi.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor,  Wan Saiful Wan Jan berkata, semalam beliau menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi.

- Advertisement -

“Agenda utama hari ini ialah cadangan penggubalan RUU Pembaharuan Semula Bandar oleh KPKT.

“Bagi saya cadangan RUU ini secara umumnya boleh dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dibuat dalam akaun sosial Facebooknya semalam.

Menurut beliau, terdapat banyak kawasan di seluruh negara yang perlu dibangunkan semula terutamanya bangunan-bangunan yang sudah usang.

Tambah beliau, terdapat tiga penekanan yang telah diberikan sebagai pandangannya dalam mesyuarat tersebut.

“Pertama, proses pembaharuan bandar mestilah tidak menyebabkan pemilik-pemilik Bumiputera berpindah keluar dari kawasan bandar ke pinggir bandar. 

“Perpindahan boleh berlaku atas dua sebab iaitu kerana pemilik Bumiputera tidak lagi mampu menanggung kos setelah pembaharuan dilaksanakan dan kesan tidak diingini (unintended consequence) daripada proses pembaharuan yang mana hasil dari penambahbaikan, nilai aset meningkat serta wujudnya insentif tidak langsung untuk pemilik Bumiputera menjual aset mereka yang telah dibaikpulih. 

“Kedua-dua ini, baik kesan sengaja ataupun tidak perlu diperhalusi agar orang Melayu tidak terpinggir dari kawasan bandar.

“Selain itu, tidak perlu wujudkan agensi baru untuk melaksana akta ini. Sebaliknya jabatan atau agensi sedia ada boleh diperbesar atau diberi kuasa tambahan untuk membolehkan mereka menjalankan peranan yang dispesifikasikan oleh akta ini.

“Jika agensi atau jabatan baru diwujudkan, saya bimbang ia hanya akan menambah birokrasi dan pertindanan tugas sahaja.

“Yang terakhir, RUU ini perlu diperkemas dan diperbaiki agar sebarang kelemahan dalam 17 akta  yang sedia ada dapat diperbetulkan melalui akta baharu ini,” jelasnya 

Sehubungan itu, Wan Saiful menegaskan bahawa tiada gunanya akta baharu diperkenalkan sekiranya membuka ruang kepada lebih banyak birokrasi.

“Tidak ada gunanya Akta baru diperkenalkan jika ia hanya menambah lapisan birokrasi dan tidak menghapuskan pertindanan serta menampung kelompongan yang ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/2024

- Advertisement -