
KUALA LUMPUR: Pimpinan PAS Wilayah Persekutuan yang diketuai oleh Pesuruhjaya, Ustaz Azhar Yahya telah mengadakan ziarah terhadap keluarga mendiang Naib Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP), Kong Tuck Wah atau ‘Mr Kong’ yang telah meninggal dunia secara mengejut petang semalam.
Ziarah yang diadakan di Dewan Pengebumian Jinjang itu turut dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya 1, Fauzi Abu Bakar; Timbalan Pesuruhjaya 2, Ustaz Abu Bakar Abd Rahman dan Timbalan Pesuruhjaya 3, Dr. Rosni Adam.
Turut hadir ialah Bendahari, Ustaz Abdul Hadi Abdul Halim; Pengarah Pilihan Raya, Izamuddin Ludin dan Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh.
Mr Kong yang juga merupakan Pengerusi DHPP Wilayah Persekutuan sangat aktif dan sentiasa ke hadapan dalam menjayakan program dan aktiviti khasnya melibatkan masyarakat bukan Islam dilaporkan telah meninggal dunia secara mengejut pada petang semalam.
Mendiang pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Sepang (MPS) ketika PAS menjadi sebahagian daripada Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, selain turut diberikan kepercayaan untuk menjadi calon PAS dan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. – HARAKAHDAILY 18/10/2024




















