
KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) dengan tegas membantah sebarang usaha oleh DAP untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, khususnya berkenaan cadangan pembentukan jawatan Ahli Majlis Berkuasa Tempatan (PBT) di Wilayah Persekutuan.
Pesuruhjayanya, Ustaz Azhar Yahya berkata bahawa jika diluluskan cadangan itu, ia akan membawa implikasi besar terhadap struktur pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan, sekaligus mempersoalkan dasar-dasar asal penubuhan Wilayah Persekutuan.
“Wilayah Persekutuan mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sistem pentadbiran negara kita dan sebarang perubahan besar perlu dibuat dengan berhati-hati, melibatkan semua pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, PAS Wilayah Persekutuan melihat cadangan itu sebagai satu ancaman kepada prinsip tadbir urus dan kepentingan rakyat di Wilayah Persekutuan, khususnya bagi penduduk yang sudah sekian lama hidup di bawah sistem yang sedia ada.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan, pindaan yang dicadangkan itu boleh membuka ruang kepada manipulasi politik, dan dibimbangi ia akan menghakis keseimbangan kuasa antara pihak berkuasa pusat dan tempatan, serta mencetuskan konflik dalam pengurusan hal-hal awam di kawasan Wilayah Persekutuan.
“BPPWP menyeru kepada semua pihak agar menolak cadangan itu dan kekal dengan dasar serta undang-undang sedia ada yang telah terbukti berkesan dalam mengurus tadbir Wilayah Persekutuan,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, sebarang bentuk perubahan yang melibatkan pindaan kepada Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 harus melalui proses perundingan yang menyeluruh dan tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa.
“PAS Wilayah Persekutuan akan terus mempertahankan kepentingan rakyat dan memastikan sebarang langkah yang diambil oleh mana-mana pihak politik tidak merugikan kesejahteraan penduduk Wilayah Persekutuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/10/2024




















