Peruntukan untuk baiki jalan pun nak bolot? – Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Peruntukan untuk baiki jalan raya pun DAP nak bolot juga ke?”

Itu kenyataan Ketua Bahagian Bersatu Bangi, Wan Saiful Wan Jan sebagai respons kepada laporan portal Free Malaysia Today (FMT) pada 12 Oktober lalu yang melaporkan kenyataan ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, menggesa pemulangan RM1.4 juta yang digunakan untuk menaik taraf jalan persekutuan dari Butterworth ke Kepala Batas.

- Advertisement -

“Kata Lim Guan Eng, ini kerana wang tersebut adalah hak kawasan Parlimen yang beliau sendiri mewakili sahaja. 

“Tindakan tersebut jelas menunjukkan bahawa pemimpin DAP tersebut bersifat sombong,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Beliau mempersoalkan sama ada wang rakyat adalah benar-benar milik mutlak DAP untuk diagihkan sesama mereka sahaja.

“Adakah Lim Guan Eng menganggap wang rakyat yang merupakan duit pembayar cukai ini adalah milik mutlak DAP untuk diagihkan sesama mereka sahaja?

“Adakah beliau berpandangan dana pembangunan hanya untuk kawasan mereka manakala kawasan-kawasan Perikatan Nasional (PN) diketepikan?

“Adakah Pakatan Harapan (PH) dan DAP mahu menganaktirikan Tasek Gelugor?” ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Saiful mengingatkan Lim Guan Eng supaya tidak bersifat sombong dengan kuasa sementara yang sedang dipegang.

“Saya mahu ingatkan beliau supaya jangan sombong dengan kuasa sementara yang sedang dipegang.

“Dalam keadaan peruntukan Parlimen wakil rakyat PN sendiri pun disekat, kami berkhidmat dengan sekadar mana yang termampu.

“Rakyat sendiri akan menilai siapa yang bersifat angkuh manakala siapa pula yang ikhlas,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

- Advertisement -