‘Ceri di atas kek’: Kejayaan terbaharu Sze Fei-Izzuddin 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Tahniah kepada pasangan beregu profesional badminton Malaysia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani di atas kejayaan gemilang menjuarai Terbuka Artik 2024 di Finland, semalam.”

Ahli Dewan Undangan (ADN) Semenyih, Nushi Mahfodz berkata demikian di atas kemenangan yang diperolehi beregu badminton negara itu dengan menewaskan pasangan No. 2 dunia dari Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen. 

- Advertisement -

Menurutnya, selepas merangkul gelaran Juara dalam Super 1000 (Terbuka China) bulan lepas serta Super 750 (Terbuka Jepun) Ogos lalu, kejayaan Super 500 (Terbuka Artik) yang diraih Sze Fei-Izzuddin boleh diibaratkan umpama ‘ceri di atas kek’ (cherry on the cake’).

“Mereka telah melengkapkan set kemenangan di semua peringkat Siri Jelajah Dunia BWF, iaitu Super 300, Super 500, Super 750, dan Super 1000.

“Menariknya, Nur Izzuddin yang terkenal dengan nama timangan Din Masjid, sentiasa menjaga syariat dengan menutup aurat, menolak bersalaman dengan VIP wanita, dan sujud syukur sebaik sahaja menewaskan pasangan No. 2 dunia dari Denmark itu. 

“#DinFei  (Sze Fei dan Izzuddin) adalah simbol perpaduan unggul dalam sukan, mewakili keakraban Melayu-Cina yang berjaya disatukan melalui dedikasi dan usaha gigih bersama,” kata Nushi menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini. 

Tambah beliau lagi, sikap dan pencapaian Sze Fei-Izzuddin telah membuktikan bahawa perpaduan, komitmen kepada agama, dan kejayaan dalam sukan mampu dicapai serentak.

“Semoga kecemerlangan, keserasian, stamina, dan semangat mereka terus konsisten, bahkan bertambah baik dalam perlawanan mendatang, terutamanya di Terbuka Denmark Super 1000 di Odense minggu depan.

“Mudah-mudahan usaha mereka untuk mengukuhkan nama negara diberkati serta dipermudahkan oleh-Nya,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

- Advertisement -