
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan tahniah kepada Kang Khai Xing dan Aaron Thai apabila muncul Juara Dunia acara beregu lelaki pada kejohanan World Junior Championships 2024.
Kang Khai Xing merupakan atlet Kelantan turut beraksi di SUKMA Sarawak 2024 dalam acara badminton beregu campuran.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad merakam ucapan tahniah kepada kedua-dua pemain terbabit.
“Tahniah diucapkan buat Kang Khai Xing dan Aaron Thai kerana berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya di laman media sosial.
Pemain beregu lelaki negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing berjaya menamatkan kemarau 13 tahun pada kejuaraan di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Nangchang, China.
Kali terakhir Malaysia merangkul Juara Dunia Remaja dalam acara beregu lelaki adalah menerusi gandingan Nelson Heg-Teo Ee Yi pada edisi 2011 di Taoyuan, Taiwan. – HARAKAHDAILY 14/10/2024











