Cadangan iktiraf gelaran ‘Inspektor Kesihatan’

Dr Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) mencadangkan agar gelaran ‘Inspektor Kesihatan’ dikembalikan berbanding pegawai kesihatan persekitaran.

Gelaran itu, menurut beliau lebih gah dan memberi impak yang lebih kuat kepada pihak-pihak yang perlu mematuhi undang-undang.

Dengan gelaran itu katanya, peranan pegawai kesihatan lebih dihormati, seolah-olah setaraf dengan inspektor polis dalam menguatkuasakan undang-undang.

- Advertisement -

“Pihak-pihak yang kalau kita nak buatlah akta ini segala kompaun segala apa undang-undang yang nak dibawa itu dia macam inspektor polislah,” ujar beliau.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Rang Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Halimah berkata, pada 2019, kerajaan enggan memperketatkan kawalan pergerakan kerana bimbang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) akan menjejaskan ekonomi negara.

Menurutnya, sekiranya berlaku lagi wabak berjangkit, kerajaan perlu lebih bersiap siaga memandangkan keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu.

“Jadi, adakah kerajaan bersedia untuk bertindak lebih segera dalam mengimplementasikan kuasa pegawai kesihatan persekitaran, dengan takrifan baru ini, untuk segera mengawal atau menghalang wabak daripada merebak, dan mempercepatkan pelaksanaan PKP?” persoal beliau.

Selain itu beliau berkata, Fasal 12 mencadangkan pindaan Seksyen 25 Akta 342 untuk memberi kuasa kepada Ketua Pengarah atau pegawai tertentu menawarkan kompaun bagi kesalahan yang dilakukan.

“Jadi saya nak tanya adakah pertimbangan sewajarnya turut diberikan kepada faktor sosioekonomi terutama mengambil kira impak kompaun terhadap golongan yang kurang berkemampuan serta pelan kerajaan untuk mengimbangi keperluan golongan ini?

“Apakah mekanisme yang digunapakai bagi menentukan kadar denda yang dikenakan? Dan bagaimanakah dengan mereka yang melanggar SOP secara tidak sengaja atau mungkin keliru dengan SOP sedia ada?

“Adakah proses rayuan ni juga tertakluk kepada budi bicara pegawai kesihatan daerah jika seseorang individu membuat rayuan atas kesalahan tersebut?” persoal beliau.

Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan pendidikan kesihatan kepada masyarakat.

“(Ia berikutan) supaya (masyarakat) lebih bersedia serta boleh bekerjasama dan menerima apa yang nak dibawa dalam pindaan-pindaan sebegini,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

- Advertisement -