PPWK lahir 7,482 pelatih bidang jahitan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) berjaya melahirkan 7,482 pelatih dalam bidang jahitan sejak ia diperkenalkan 19 tahun lalu.

Daripada jumlah itu seramai 4,405 pelatih berjaya memperolehi sijil tamat kursus sejak majlis graduasi diperkenalkan 16 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, kerajaan negeri menyusun beberapa langkah untuk membantu program kemahiran ke peringkat lebih baik mengikut keperluan semasa.

- Advertisement -

Menurutnya, pelatih tidak hanya mendapat sijil daripada PPWK, sebaliknya boleh melanjutkan bidang berkenaan ke peringkat lebih tinggi.

“Kerjasama dengan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tanah Merah pada 30 November 2023 akan membantu pengajar dan pelatih mendapat sijil kemahiran yang diiktiraf kerajaan.

“Ia secara tidak langsung dapat meluaskan peluang dalam bidang kemahiran,” katanya pada majlis Graduasi PPWK ke-16 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), dekat sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Penasihat PPWK, Puan Sri Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Turut hadir isteri Menteri Besar Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob dan isteri Timbalan Menteri Besar Datin Bahrulnurarifah Baharuddin.

Seramai 445 pelatih bergraduasi iaitu 369 bidang jahitan, sulaman (4) dan 72 graduan SKM Tahap 1, 2 dan 3.

Rohani juga berkata, lapan pelatih menerima Anugerah Khas graduasi tersebut.

“Kali ini ada tiga jenis anugerah khas yang diabadikan sempena nama tiga tokoh wanita hebat Kelantan iaitu Anugerah Datin Siti Zabidah, Anugerah Datin Tuan Sabariah dan Anugerah Datin Wan Norhanita,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

- Advertisement -