Kenapa Tentera Laut China singgah di pelabuhan Pulau Pinang?

Ikhmal Hisham Abdul Aziz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Pulau Pinang dituntut untuk menjelaskan kepada rakyat Malaysia apakah rasional disebalik sambutan luar biasa yang diberikan kepada kelasi dan kadet Tentera Laut China (PLAN) baru-baru ini.

Ketua Portfolio Pertahanan Perikatan Nasional (PN), Dato’ Sri Ikhmal Hisham Abdul Aziz berkata, pihaknya turut musykil akan pemilihan pelabuhan Pulau Pinang oleh Task Group 83 negara itu sebagai pelabuhan persinggahan berbanding pelabuhan lain di Malaysia seperti di Pelabuhan Klang ataupun Pelabuhan Langkawi.

- Advertisement -

“Melalui pemerhatian saya, aktiviti ‘port-call’ yang dibuat oleh PLAN Task Group 83 ini adalah sesuatu yang di luar norma kebiasaan.

“Dua buah kapal besar PLAN Task Group 83 yang melaksanakan ‘port-call’ ini iaitu Kapal Qi Jiguang dan Kapal Jinggang Shan telah melaksanakan ‘port-call’ secara bersama dalam satu masa di Pulau Pinang, walaupun sebenarnya tiada keperluan logistik untuk mereka melaksanakan ‘port-call’ ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanah Merah, sambutan berkenaan malah tidak dibuat sempena pelaksanaan latihan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahupun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Sambutan luar biasa dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada kelasi dan kadet Tentera Laut RRC (Republik Rakyat China) yang sebelum ini jarang-jarang melaksanakan aktiviti ‘port-call’ di pelabuhan awam di Malaysia.

“Apatah lagi aktiviti ‘port call’ yang dibuat oleh Task Group 83 ini tidak dibuat sempena pelaksanaan eksesais dengan ATM atau TLDM,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu menegaskan tindakan sambutan luar biasa oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu telah menghantar mesej yang salah kepada rakyat Malaysia serta tidak sensitif terhadap isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

“Mengambil kira PLAN China ini secara 24 jam meletakkan aset kapal tentera laut mereka dengan disokong oleh pasukan pengawal pantai RRC di kawasan Beting Patinggi Ali dalam usaha mereka menuntut wilayah berkenaan sebagai wilayah laut RRC,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan mengenai program sambutan luar biasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk kelasi dan kadet kapal Tentera Laut China sewaktu mereka melaksanakan aktiviti ‘port-call’ di Jeti Swettenham, George Town, Pulau Pinang.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato Seri Law Choo Kiang sendiri telah menerima kunjungan hormat daripada dua Komander PLAN Task Group 83, serta berlakunya program ‘Civil-Military Relations’ oleh kelasi dan kadet Tentera Laut RRC ke sekolah swasta Chung Ling High dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti. – HARAKAHDAILY 11/10/2024

- Advertisement -