‘Naratif Tajuddin mengenai ‘bahaya PAS’ adalah sentimen politik’

Takiyuddin Hassan (kanan) dan Mohd Tajuddin Rasdi.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa analisis ahli akademik, Prof. Dr. Mohd Tajuddin Rasdi mengenai ‘bahaya PAS’ sebagai ‘ tidak objektif, berasaskan sentimen politik dan dangkal’.

Menurutnya, isu-isu besar seperti kestabilan kerajaan dan undang-undang telah diabaikan dalam naratif tersebut.

- Advertisement -

“Saya sempat membaca dengan penuh teliti dan minat suatu laporan di portal Malaysiakini berjudul, Academic: PAS dangerous for nation, Akmal ‘kitten’ in comparison.

“Namun, ia kemudiannya bertukar menjadi kecewa, terutama sekali berhubung tema dan rumusan yang cuba diketengahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, rasa minat itu lahir kerana laporan tersebut melibatkan PAS secara langsung selain berkait isu-isu penting, termasuk masa depan negara, dari sudut pandang seorang ahli akademik yang agak ternama, iaitu Prof. Dr. Mohd Tajuddin Rasdi.

“Rasa kecewa itu pula terbentuk kerana ‘kedangkalan analisis dan rumusan’ yang dibuat yang lebih menyerupai ruapan sentimen dan emosi seorang pentaksub serta pendakyah politik mentah yang kerap ditemui di media sosial khasnya,” hujahnya.

Takiyuddin juga menyatakan bahawa sebagai seorang ahli akademik, Tajuddin seharusnya menghasilkan analisis yang lebih berkualiti dan berwibawa, walaupun dalam bidang bukan kepakarannya. 

“Harapan terhadap kualiti pemikiran dan analisis yang mendalam adalah wajar bagi seorang individu dengan pengalaman luas dalam penulisan ilmiah.

Mengaburi isu utama kerajaan

Beliau berkata, dalam pertelagahan antara Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Naib Presiden DAP, Teresa Kok mengenai sijil halal JAKIM, Dr. Tajuddin berusaha menyembunyikan implikasi konflik terhadap gabungan kerajaan PH-BN.

Beliau menyatakan, Tajudin memasukkan PAS sebagai ‘ancaman lebih besar’ dalam naratifnya untuk mengalihkan perhatian dari isu utama. 

“Langkah beliau untuk mengalihkan fokus daripada masalah sebenar yang dihadapi

oleh gabungan kerajaan (ialah) dengan menjadikan pihak lain yang tidak berkait sebagai ‘kambing hitam’.

“(Ia) jelas menjerut dan memakan diri apabila konflik individu itu berkembang menjadi konflik antara Umno dengan DAP, terutamanya selepas berakhirnya PRK DUN Mahkota sehingga melibatkan bukan sahaja pemimpin Umno dan DAP yang lain, tetapi juga pemimpin parti-parti PH,” jelas beliau.

Takiyuddin berkata lagi, Tajuddin cenderung meneruskan naratif ‘green wave’ yang dipelopori oleh bekas pemimpin DAP, Lim Kit Siang untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu terhadap PAS.

Tindakan itu, ujar beliau, dilakukan meskipun terdapat kebimbangan penganalisis mengenai kestabilan kerajaan.

“Tindakan itu juga telah menyebabkan terabainya isu-isu lebih besar yang penting untuk rakyat dan kesejahteraan negara. 

“Contoh-contoh yang diketengahkan oleh Dr. Tajuddin bagi menyokong naratif ‘bahaya PAS’ itu juga amat lemah, remeh dan merupakan hujah basi yang tidak akan melepasi standard sebuah analisis berwibawa.

“Selain gagal melihat konteks dan latar belakang setiap contoh yang dikemukakan

secara adil dan objektif, beliau juga gagal melihat isu lebih besar dan penting di sebaliknya.

“Terutamanya yang berkait langsung dengan isu-isu seperti kesejahteraan

negara, demokrasi, kedaulatan undang-undang, keadilan, perpaduan rakyat,

kedudukan Islam, keluhuran moral dan sebagainya,” katanya.

Taktik alih perhatian politik

Selain itu, tambah Takiyuddin, Dr. Tajuddin seolah-olah berusaha menenggelamkan ‘keceluparan’ Dr. Akmal yang memanggil Teresa sebagai ‘nyonya tua’ untuk mengalihkan perhatian daripada kenyataan awal Teresa yang berkaitan sijil halal JAKIM. 

Kenyataan tersebut terangnya, dilihat jelas menyimpang dan memberi kesan buruk terhadap dasar kerajaan.

Tindakan itu juga menurut beliau menciptakan suasana tegang dan ketidakharmonian dalam masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata, mengikut logik ‘kitten-tiger’ Dr. Tajuddin, Teresa seharusnya dianggap lebih berbahaya kepada negara berbanding Dr. Akmal.

Menurutnya, PAS, sebaliknya, telah memperingatkan mengenai kesan negatif yang mungkin timbul akibat kegagalan mengawal emosi dalam isu itu. 

Selain itu juga, Takiyuddin berkata, dalam isu peniaga wanita di Kota Bharu yang dikompaun kerana berpakaian tidak senonoh, Dr. Tajuddin menyalah petik kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, untuk merendahkan parti itu. 

Namun menurutnya, Tajuddin mengabaikan kenyataan Menteri DAP, Nga Kor Ming, yang membela pesalah dengan meminta agar kompaun ditarik balik. 

Beliau berkata, tindakan itu menunjukkan pengabaian terhadap undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Menurut Takiyuddin, Menteri tersebut menggunakan hujah palsu berkaitan hak kebebasan yang dijamin perlembagaan negara; keharmonian kaum dan bukan Islam untuk melampaui bidang tugasnya. 

Jelas beliau, tindakannya menunjukkan keinginan untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara pilih kasih berdasarkan kaum dan agama.

“Sekali lagi, jika menggunakan logik ‘kitten-tiger’ yang sama, kenyataan manakah yang lebih berbahaya kepada negara dan rakyat? 

“Kenyataan Presiden PAS yang disalah petik atau kenyataan menteri yang dilaporkan oleh hampir semua media utama negara?” soal beliau.

Menurutnya, dalam perkara yang sama iaitu kes bacaan qunut Nazilah di Parlimen, tindakan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal selama enam bulan dilihat sebagai ketidakadilan. 

Tambah beliau, Tajuddin berusaha mengalihkan perhatian dari isu hak demokratik dengan membangkitkan isu remeh dan emotif. 

“Taktik itu bertujuan untuk memburukkan imej PAS dalam konteks yang lebih luas,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam ketiga-tiga contoh tersebut, Dr. Tajuddin lebih memfokuskan perhatian kepada isu-isu remeh yang tidak signifikan untuk mencemarkan imej PAS. 

“Dalam proses itu, beliau mengabaikan isu-isu besar yang memberi kesan terhadap kedaulatan undang-undang, keadilan, dan hak demokratik rakyat. 

“Pendekatan itu jelas menunjukkan kurangnya keprihatinan terhadap perkara-perkara fundamental yang lebih penting bagi kehidupan bernegara,” ujarnya.

Kesimpulan dan harapan untuk masa depan

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Tajuddin seharusnya menumpukan analisis pada bidang pengkhususannya yang lebih relevan untuk kepentingan masyarakat dan negara. 

Menurutnya, pendekatan menyimpang ke bidang lain yang memerlukan kemahiran berbeza hanya menunjukkan kedangkalan pandangannya. 

“Saya meminjam topik kecil dalam sebuah buku bertajuk ‘48 laws of Power’ karangan Robert Green yang agak sesuai untuk menggambarkan tulisan Dr. Tajudin ini yang berjudul, Know who you’re dealing with, do not offend the wrong person’ (Law 10) dan juga ‘Concentrate your forces’ (Law 25),” petik beliau.

Namun begitu, Takiyuddin turut merakamkan rasa simpati kepada Tajuddin kerana hakikat bahawa secebis kedangkalan tetap akan mencalarkan kewibawaan seseorang yang dianggap dan dihormati sebagai seorang intelektual.

“Jelas bahawa naratif separuh masak, tidak objektif dan sarat emosi seperti ini pastinya tidak akan menyumbang kepada masa depan negara yang lebih baik seperti yang diharapkannya dan dijadikan premis kepada pandangan serong beliau terhadap PAS, khasnya Presiden PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2024

- Advertisement -