Kajian impak diperlukan sebelum subsidi telur ayam dihentikan

Khairil Nizam (kanan) dan Mohamad Sabu.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Hal Ehwal Pengguna dan Kepenggunaan PAS menyeru supaya kajian impak mendalam bersama-sama kesemua pemegang taruh dilaksanakan, sebelum keputusan penamatan subsidi telur ayam dilaksanakan susulan cadangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, hari ini.

Pengerusinya, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, kajian itu adalah penting bagi menilai kesan impak negatif kepada pengguna yang mungkin menghadapi kenaikan harga telur, yang akan membebankan golongan berpendapatan rendah. 

- Advertisement -

“Penarikan subsidi yang berjumlah RM927 juta pada tahun 2023 itu juga boleh menyebabkan pengurangan akses kepada telur, yang merupakan sumber protein penting bagi rakyat dan juga kepada industri makanan di negara ini. 

“Berdasarkan jangkaan semasa harga telur mungkin boleh meningkat 20 peratus hingga 50 peratus, bergantung kepada situasi pasaran dan respons pengeluar sekiranya subsidi ini dihentikan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pada bulan September, data harga ex-farm telur ayam adalah RM0.36 bagi Gred A, RM0.34 (Gred B) dan RM0.32 (Gred C).

Tambahnya, PAS turut menyeru kerajaan, melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta agensi seperti The Malaysia Competition Commissin (MyCC), agar bertegas dengan pemain industri telur ayam di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut menyatakan, langkah berkenaan adalah penting untuk memastikan harga telur ayam kekal stabil dan bekalan mencukupi. 

“PAS juga menekankan supaya pihak industri tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga atau mengurangkan bekalan telur ayam di pasaran, yang akhirnya menekan pengguna,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa walaupun cadangan untuk menghentikan subsidi telur ayam berpotensi mewujudkan pasaran yang lebih seimbang serta mempromosikan persaingan yang lebih kompetitif, impak segera dan kesan rantaian perlu diperhalusi oleh Kerajaan Madani.

“PAS berpendapat secara keseluruhannya, impak kepada pengguna adalah bergantung kepada bagaimana pasaran menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut dan langkah-langkah sokongan tambahan serta intervensi yang mungkin boleh diambil oleh kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2024

- Advertisement -