
KUANTAN: “Kami tidak akan berkompromi terhadap isu kegiatan penghapusan hutan di kawasan Hutan Sungai Lembing ini.”
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri berkata, beliau telah menerima surat edaran mengenai perkara tersebut pada 27 September yang lalu.
“Pada 27 September lalu, saya telah menerima surat edaran daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) mengenai kegiatan penghapusan hutan di kawasan Hutan Sungai Lembing, Kuantan, Pahang.
“Surat edaran tersebut antaranya menyatakan bahawa terdapat aktiviti penebangan dan pembersihan hutan yang dikhuatiri dilakukan tanpa kebenaran daripada pihak-pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya dalam akaun media sosial Facebooknya.

Menurut beliau, kegiatan penghapusan hutan ini akan menimbulkan kebimbangan serius kerana boleh membawa kepada beberapa kesan buruk.
“Seperti yang kita sedia maklum, kegiatan penghapusan hutan ini akan menimbulkan kebimbangan serius kerana boleh membawa kepada beberapa kesan buruk lebih-lebih lagi dengan kita sekarang mula menerima jumlah kadar hujan yang semakin meningkat, termasuk hakisan tanah, banjir lumpur, kemusnahan habitat haiwan liar serta konflik antara manusia dengan haiwan liar.

“Sebagai langkah proaktif, saya telah menghantar surat permohonan untuk menggesa diadakan semakan, tindakan segera, dan juga bantahan terhadap kegiatan ini serta semakan status kawasan hutan tersebut kepada Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
“Salinan surat tersebut juga dihantar kepada Menteri Besar Pahang, Pengarah Tanah dan Galian, Pegawai Daerah Kuantan serta Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri Pahang.
“Saya dan warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing ingin menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyelewengan atau salah laku dalam tata kelola (sekiranya ada) berkaitan isu penghapusan hutan ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohamad Ayub menyatakan bahawa penghapusan hutan secara skala besar tanpa ada sebarang kajian impak kepada alam sekitar tidak boleh diterima sama sekali.
Tambah beliau lagi, ini kerana akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung bebanan dan akibatnya.
“Dengan ini, saya mengharapkan penjelasan yang jelas dan tuntas mengenai isu ini agar warga DUN Sungai Lembing mendapat maklumat yang tepat mengenai keadaan dan status Hutan Sungai Lembing,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/10/2024




















