
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir menzahirkan kepelikan terhadap kenyataan Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin yang mengkritik Umno walaupun mereka adalah rakan sekutu dalam kerajaan campuran.
Roslan merujuk kepada kenyataan Razeef yang mengulas gesaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Nur Jazlan Mohamed, yang meminta Pakatan Harapan (PH) untuk memohon maaf atas serangan terhadap Umno selama ini.
Terdahulu dalam kenyataan yang dilaporkan itu, Razeef mengingatkan Umno agar tidak angkuh dengan kemenangan besar di DUN Mahkota kerana kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa sokongan PH yang memastikan pengundi mereka keluar mengundi.
“Inilah perangai sesetengah pemimpin Umno yang masih belum terhakis, angkuh. Baru menang beberapa kerusi sudah mendabik dada. Umno membusuk hingga ke usus, tetapi selepas bersama PH, barulah Umno perlahan-lahan bersih dari sikap angkuh, sombong, serta jauh dari rasuah dan salah guna kuasa,” kata Razeef.
Sehubungan itu, Roslan mengakui kenyataan Razeef itu membuatkan beliau terasa, walaupun beliau berada di luar kerajaan campuran PH-BN.
Menurutnya, tidak wajar rakan sekutu dalam kerajaan campuran menyerang satu sama lain sedemikian rupa, terutama selepas kemenangan Umno di PRK Mahkota yang sepatutnya disambut dengan semangat campuran.
“Saya yang di luar PH-BN pun terasa berdesing telinga.
“Bayangkan sesama kawan dalam kerajaan campuran boleh menyerang dan menyinggung sebegitu pedas dan tajam.
“Baru sahaja pasca kemenangan di PRK Mahkota, beberapa pimpinan Umno menjulang Pakatan PH-BN, tiba-tiba hari ini ‘penampar Jepun’ dilayangkan,” tegas Roslan.
Beliau juga mengimbau pengalaman PAS ketika bekerjasama dengan Umno dalam permuafakatan politik sebelum ini, di mana PAS sentiasa menjaga hati kawan dengan penuh cermat.
Kata Roslan, dalam berkawan, segala perkara yang tajam perlu ditumpulkan, dan yang beracun harus dinetralkan, bukannya digunakan untuk menyerang rakan sendiri.
“Sejak berkawan dengan PH, satu demi satu kawan menjentik dan meludah Umno. Sebelum ini DAP dalam isu Dr Akmal, kemudian PAN dalam isu kerajaan campuran di Johor, dan kini PKR pula,” tambahnya.
Justeru, beliau menyeru rakan-rakan Umno untuk berhati-hati agar keadaan tidak menjadi lebih parah.
“Sahabat, beringatlah sebelum lebih parah, nampaknya layar telah menimpa tiang.
“Kita bangsa yang punya maruah dan harga diri, berkira-kiralah (fikirkanlah),” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2024




















