
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Dato’ Sirajuddin Suhaimee atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berkuatkuasa pada 1 Oktober 2024.
DPPM dalam satu kenyataan berkata, kepimpinan Dato’ Sirajuddin diharapkan akan terus memperkukuhkan peranan JAKIM dalam memperjuangkan kepentingan Islam, termasuk memperkasakan dakwah, pembangunan ummah dan perpaduan masyarakat.
“Semoga dengan pelantikan ini, Dato’ Sirajuddin dapat meneruskan usaha memperkasakan institusi Islam di Malaysia, serta memainkan peranan yang lebih besar dalam memelihara kemurnian akidah dan syariat umat Islam.
“Kami mendoakan agar Dato’ Sirajuddin diberi kekuatan dan kebijaksanaan dalam melaksanakan amanah yang besar ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Sirajuddin, 57, merupakan satu daripada usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam seiring dengan agenda reformasi perkhidmatan awam dan memperkukuhkan Jakim sebagai jabatan peneraju hal ehwal Islam di Malaysia.
Sirajuddin yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pengarah (Dakwah) di Jabatan Agama Islam Selangor pada 2 Januari 1992. – HARAKAHDAILY 2/10/2024




















