Kami tak meroyan tagih komen Umno – Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kesemua hasil ‘post mortem’ dalaman antaranya mengenai kekalahan Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada hari Sabtu lalu tidak perlu diumumkan satu persatu dalam media.”

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, begitulah juga ketika Umno tewas tahun lepas di Kemaman dengan majoriti 37,220 undi.

- Advertisement -

“Kami (Perikatan Nasional) tidaklah meroyan untuk menagih komen daripada Umno supaya membuat ulasan kenapa seorang Panglima Angkatan Tentera boleh kalah di medan pilihan raya (PRK Kemaman) dengan majoriti teramat besar!

“Boleh jadi kerana Datuk baru pulang dari pembelajaran di sekolah komunis di China, mungkin Datuk masih ada kesan ‘jetlag’, itu boleh difahami.

“Tapi biasanya orang ‘jetlag’ sehari dua sahaja, jika sampai seminggu masih ‘jetlag’ nampaknya kesan pembelajaran di sekolah perkaderan ideologi komunis tu benar-benar berkesan,” katanya dalam media sosialnya, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyebut bahawa PAS berada dalam penafian apabila Perikatan Nasional (PN) tewas dalam PRK DUN Mahkota, Sabtu lalu.

“Jika Datuk mahukan komen ekoran PRK Mahkota, saya berikan komen, tahniah.

“Ia sepertimana tahniah ketika Umno menang besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, dan kemudiannya gagal mengulangi kemenangan besar itu dalam PRU,” ujar beliau.

Beliau juga menambah bahawa Perikatan Nasional mempunyai muhasabah tersendiri dan PAS sendiri sedang melakukan muhasabah.

“Kami sentiasa percaya kepada proses dalaman parti kami tanpa perlu bergegar di media massa untuk semua urusan,” jelasnya.

Fadhli kemudian merujuk kepada pemimpin komunis, Mao Tse Tung, yang pernah berkata, ‘Kita mesti mempunyai keyakinan terhadap rakyat dan kita mesti mempunyai keyakinan terhadap parti. Ini adalah dua prinsip asas. Jika kita meragui prinsip-prinsip ini, kita tidak akan mencapai apa-apa’.

Beliau menekankan bahawa bukanlah untuk menjulang pemimpin komunis itu, tetapi kata-kata tersebut boleh dijadikan panduan, terutama kepada seseorang yang mungkin graduan sekolah komunis.

“Saya  memohon maaf kepada pemimpin Umno itu jika terdapat kesalahan dalam percakapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/10/2024

- Advertisement -