
TENTERA Israel masih menyiasat sama ada pemimpin Hamas, Yahya Sinwar mungkin terbunuh dalam serangan udara, baru-baru ini di Gaza.
Banyak laporan berita melaporkan kemungkinan Yahya terkorban kerana pemimpin itu didapati hilang selepas serangan tersebut, mengakibatkan spekulasi mengenai kematiannya mula tersebar.
Susulan spekulasi yang tular berhubung kematiannya, tiada pegawai tentera Israel yang mempunyai maklumat bagi mengesahkan pemimpin Hamas itu meninggal dunia. Tentera Israel melancarkan serangan udara di beberapa lokasi yang didakwa sebagai pusat operasi ketenteraan Hamas.
Antaranya pada Sabtu (21 September), serangan di sebuah sekolah yang melindungi penduduk kehilangan tempat tinggal di selatan bandar Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 22 nyawa. Tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan pusat arahan kumpulan pejuang Hamas.
Pada Ahad (22 September), keesokan harinya serangan udara dilancarkan oleh tentera Israel mengakibatkan tujuh orang terkorban di sebuah sekolah lokasi perlindungan keluarga yang kehilangan tempat tinggal di Gaza. Namun, tentera Israel tetap mempertahankan tindakan itu dikatakan menyasarkan pejuang Hamas yang beroperasi di kawasan itu.
Apabila gagal mengenal pasti pemimpin Hamas yang terkorban, maka berita kematian Yahya Sinwar mula tersebar di media Israel dan peringkat antarabangsa.
Israel dan Amerika Syarikat (AS) juga menggunakan banyak sumber dalam usaha mencari Yahya. Unit khas ditubuhkan dalam Shin Bet, iaitu perkhidmatan perisikan domestik Israel termasuk agensi perisikan AS terbabit dalam menjejaki pemimpin utama Hamas itu. AS turut menggunakan radar tembus tanah untuk membantu pencarian Yahya.
Mengapa mereka berusaha menghapuskan Yahya Sinwar seawal pihak Hamas mengisytiharkan beliau menggantikan Ismail Haniyeh pada Ogos lalu?
Menangkap atau membunuh Yahya berpotensi memberikan impak besar terhadap konflik Israel-Hamas. Propaganda seperti ini dapat memberikan kemenangan moral kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan mungkin mempengaruhi kesediaan beliau untuk menghentikan operasi ketenteraan di Gaza.
Netanyahu beberapa kali dalam ucapannya mendakwa semakin hampir dengan kemenangan di Gaza. Namun, data lapangan di Gaza menunjukkan fakta yang sangat berbeza.
Selepas lebih 10 bulan Gaza dibom begitu teruk oleh tentera rejim Zionis, media Israel mula mendedahkan bahawa Hamas berjaya mengembalikan kekuatan dan merekrut 3,000 pejuang baharu di utara Gaza.
Pada masa sama, tentera Israel mengumumkan fasa baharu memerangi Hizbullah di selatan Lubnan. Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant dilaporkan berkata tumpuan operasi ketenteraan telah berpindah ke utara, sekali gus memerlukan mereka memperuntukkan anggota, sumber dan tenaga.
Pihaknya telah memindahkan 10,000 hingga 20,000 anggota tentera ke utara Israel. Jika benar tentera Israel memberikan tumpuan memerangi Hizbullah di Lubnan, kemungkinan tahap serangan ke atas Gaza berkurangan dan membuka ruang untuk penduduk Gaza bernafas lega walaupun hanya seketika. – HARAKAHDAILY 28/9/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















