
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru sahaja selamat pulang ke tanah air selepas selesai misi bermusafir ke Tehran, Iran dan Istanbul, Turkiye bermula setelah selesai Muktamar PAS Pusat di Pahang baru-baru ini.
Tuan Guru Abdul Hadi dalam kenyataannya berkata, beliau mengambil peluang untuk bertemu Pemangku Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr Solah Abdel Haq, Presiden Parti Saadat Turkiye, Temel Karamollaoğlu di Istanbul serta pimpinan gerakan Islam di Sudan, Libya, Lubnan, Iraq dan lain-lain.
“Perbincangan tentang pengalaman politik PAS di Malaysia dan situasi terkini taufan al-Aqsa Palestin.
“Selain itu, saya juga memenuhi undangan Syarahan Istanbul: ‘Taufan al-Aqsa dan Masa Depan Ummah’ yang dianjurkan oleh NGO International Youth Forum (IYF).

“ (juga) Temu ramah daripada media antarabangsa, antaranya TRT World dan Anadolu Agency Media,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap musafir berkenaan memberikan makna yang besar ke arah penyatuan umat Islam agar cahaya Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia. – HARAKAHDAILY 26/9/2024




















