
KUALA LUMPUR: Setelah berlakunya ‘ketegangan’ baik di Asia Barat mahupun di Eropah Timur iaitu Ukraine, keadaan kini mula beralih arah dan kembali tertumpu di Laut China Selatan (LCS).
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia sudah tentunya berkisar mengenai perebutan kawasan di perairan Laut China Selatan antara China dengan negara-negara Asia Tenggara.
Minggu lalu, sebuah kapal penyelidikan milik China dilaporkan telah dikesan melakukan tinjauan tidak sah di Terumbu Ubi (Ardasier Bank), 150 batu nautika daripada Kota Kinabalu.
Awal bulan ini juga dilaporkan mengenai pencerobohan kapal perang China di kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia di Sarawak, berdekatan dengan platform cargali minyak dan gas Petronas Kasawari.
Khalil berkata, keadaan sama juga turut berlaku di negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti di Vietnam dan juga Filipina dengan keadaan di Filipina adalah jauh lebih tegang seperti insiden perlanggaran kapal perang China dan Filipina berhampiran kepulauan Spartly pada awal Jun lalu yang boleh mencetuskan pertembungan bersenjata.
“Situasi ini telah berlarutan sejak sekian lama khususnya sejak China mula memaparkan peta pada tahun 2023 yang menuntut atau menyatakan yang sebahagian besar Laut China Selatan adalah miliknya berdasarkan ‘nine dash line’ yang berpandukan rekod sejarah China pada Dinasti Xia lebih kurang 4,000 tahun lalu,” katanya dalam media sosial miliknya, hari ini.
Menurut beliau, di sebalik semua itu, negara-negara di Asia Tenggara khususnya ASEAN percaya keadaan tegang itu mampu dirungkai dengan rundingan mahupun diplomasi.
Tambahnya, sebelum itu pelbagai rundingan telah dilakukan oleh ASEAN dengan China bagi mengelak keadaan menjadi lebih tegang sehingga tercetusnya pertembungan mahupun peperangan dengan China.
Namun kata beliau, semuanya mula berubah beberapa tahun kebelakangan ini khususnya setelah berlangsungnya perang proksi antara Barat dengan Rusia di Ukraine.
“Ketegangan antara Amerika Syarikat dan Barat dengan China tentang isu Taiwan, kebenaran menggunakan empat pangkalan tentera tambahan kepada tentera Amerika Syarikat oleh Filipina dan penempatan sistem peluru berpandu jarak sederhana oleh Amerika Syarikat di Filipina yang mengundang amaran serta amarah China terhadap Filipina.
“Keadaan yang sememangnya tegang namun terkawal sebelum ini kini telah menjadi lebih keruh dan mencabar,” jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Batu Buruk berkata, sekiranya diperhalusi semua itu, hubungan China dengan majoriti negara-negara ASEAN pada dasarnya adalah dalam keadaan ‘managable’ (terurus) tetapi apabila hadirnya kuasa besar lain yang mempunyai agenda tersendiri ‘menyelinap’ masuk ke dalam kancah politik negara-negara ASEAN, keadaan mula berubah.
Tambah Khalil, Barat khususnya Amerika Syarikat mempunyai agendanya yang tersendiri dengan China, iaitu untuk menghalang kebangkitan China daripada menjadi kuasa besar dunia.
“Barat telah mengenakan pelbagai sekatan terhadap China sama ada ekonomi, teknologi tinggi dan ketenteraan dalam usaha untuk menghalang kebangkitannya.
“Media-media Barat memaparkan naratif negatif terhadap China berikutan insiden-insiden di Laut China Selatan di samping propaganda yang mampu merosakkan hubungan antara negara-negara ASEAN dengan China dengan tujuan untuk ‘memaksa’ negara-negara ASEAN supaya mengikut kehendak dan agenda mereka,” jelasnya lagi.
Khalil menyatakan, penempatan sistem peluru berpandu jarak sederhana oleh Amerika Syarikat di Filipina dan kebenaran menggunakan empat pangkalan tentera tambahan yang diberikan Filipina kepada AS, adalah tambahan kepada puluhan kem tentera AS yang berada di Jepun, Korea Selatan dan perairan Pasifik yang mengelilingi China yang tujuannya adalah untuk menghalang pengembangan kuasa ketenteraan China di Perairan Pasifik.
Beliau juga berkata, tidak hanya sekadar itu, China digambarkan oleh media-media Barat sebagai ‘rakan bersubahat’ dengan Rusia khususnya Presidennya, Vladimir Putin dengan membantu membekalkan teknologi ketenteraan kepada Rusia di samping tuduhan membantu menjana dan menghidupkan ekonomi yang menjadi ‘war machine’ kepada Rusia yang sedang berperang dengan Ukraine.
“Kesemua ini dilakukan bertujuan untuk memberikan imej buruk kepada China di samping menghalang kebangkitan China dari setiap sudut kerana Barat sedar jika China tidak dihalang, dalam masa 5 hingga 0 tahun lagi, China bakal memintas Barat menjadi kuasa ekonomi dan geopolitik terbesar dunia dan mungkin lebih cepat lagi berikutan keadaan ekonomi dan politik di negara -negara Barat sedang berada dalam keadaan yang amat tenat.
“Telah tercatat dalam sejarah sejak sekian lama bahawa China tidak pernah menjajah mana-mana negara.
“Apa yang dilakukan China sejak sekian lama adalah hubungan perdagangan seperti ‘Silk Road’ yang menjadi jalan perdagangan utama antara Timur dan Barat dan dihidupkan oleh pertadbiran China terkini dengan nama ‘Belt and Road Initiative’.
“Sebaliknya Barat adalah negara penjajah, yang sejak berabad-abad lamanya Barat menjajah negara-negara di benua Afrika dan Asia.
“Bukan sekadar penjajah tetapi merompak hasil mahsul negara yang dijajahnya termasuk menjadikan penduduk asal negara yang dijajah sebagai hamba abdi dan barangan dagangan,” tegasnya.
Oleh itu menurut Khalil, sebagai rakyat dan kerajaan Malaysia, janganlah terpedaya dengan propaganda dan jarum halus yang sedang rancak dipaparkan untuk mengeruhkan hubungan antara negara-negara ASEAN dan China.
“Benar, isu Laut China Selatan perlu diselesai dan dimuktamadkan agar ianya tidak berpanjangan namun jalan yang paling baik adalah melalui diplomasi dan meja rundingan, bukan dengan provokasi dan peperangan.
“Jangan kita menjadi ‘pak turut’ dan terikut-ikut dengan rentak ‘orang luar’ yang hanya mahu merosakkan segala-galanya dan mempunyai kepentingan tersendiri.
“Negara kita sudah merdeka, makmur dan berdaulat, sudah tentu kita mampu merencanakan masa depan negara kita untuk menjadi lebih baik, gemilang dan terbilang,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/9/2024




















