
HARI ini 16 September 2024, selain daripada ulang tahun hari pembentukan Malaysia, tarikh ini juga dikenali sebagai Hari Ozon Sedunia. Pada 16 September 1987, iaitu 37 tahun yang lalu, telah ditandatangani Protokol Montreal yang menzahirkan komitmen bersama 148 negara untuk melindungan lapisan Ozon Bumi.
Semenjak daripada itu satu tindakan multi-lateral telah dibuat, bermula dengan menanam kesedaran alam sekitar dalam kalangan warga Bumi sehinggalah kepada membuat dasar yang berkaitan oleh kerajaan-kerajaan.
Setelah 37 tahun komitmen bersama itu dizahirkan, boleh dilihat ada perubahan yang positif terhadap permasalahan penipisan lapisan Ozon Bumi. Seperti yang dimaklumi, lapisan Ozon adalah satu lapisan di Stratosfera Bumi yang dijadikan oleh Allah SWT untuk melindungi Bumi dan warganya dari kesan radiasi sinaran ultraungu (ultraviolet atau UV) dari Matahari.
Pada 1980-an, lapisan ini dilaporkan semakin menipis disebabkan pembebasan gas-gas pencemar khususnya kloroflorokarbon (CFC) yang terhasil daripada teknologi yang diperbuat oleh manusia.
Meskipun perubahan yang positif ini, usaha berterusan perlu digembeling untuk memastikan lapisan Ozon Bumi tidak menipis. Oleh sebab itu, pada tahun ini PBB telah memilih tema Protokol Montreal: Melanjuti Tindakan Iklim ‘Montreal Protocol: Advancing Climate Action’.
Menurut Perutusan PBB sempena Hari Ozon Sedunia, tema ini mengkehendaki tindakan multi-lateral seluruh negara dan warga Bumi diteruskan. Penerusan tindakan tersebut adalah berdasarkan Pindaan Kigali (Kigali Amendments), yang berusaha pula mengurangkan penggunaan hidroflorokarbon (HFC).
Lajnah Alam Sekitar dan Perubahan Iklim PAS (LASPI) menyeru seluruh warga Malaysia meneruskan komitmen bersama dengan memastikan kita tidak lagi mengguna ataupun meminimakan seboleh mungkin penggunaan barangan yang boleh membebaskan gas-gas pencemar khususnya CFC dan HFC.
LASPI juga meminta Kerajaan Malaysia terus memainkan peranan aktif di dalam tindakan multi-lateral menyelamatkan lapisan Ozon Bumi, setelah Malaysia secara rasmi meratifikasikan Pindaan Kigali pada 8 November 2020. – HARAKAHDAILY 16/9/2024
DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Pengerusi LASPI
16 September 2024




















