
KUALA LUMPUR: “Siapa yang perlu bertanggungjawab mengenai isu pesawat Malaysia Airlines patah balik lagi?”
Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pada 11 September 2024, sebuah lagi penerbangan Malaysia Airlines terpaksa berpatah balik.
“Penerbangan tersebut adalah MH835 iaitu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Denpasar iaitu jam 3:30 petang.
“Namun demikian pesawat tersebut terpaksa patah balik ke KLIA,” katanya dalam akaun media sosial Facebooknya.
Menurut beliau, insiden tersebut merupakan kali-5 yang berlaku yang melibatkan pesawat Malaysia Airlines.
Tambahnya, perkara sebegini sudah tentu mengancam keselamatan penumpang pesawat Malaysia Airlines itu sendiri.
“Jadi, siapa yang bersalah dalam isu ini?
“Jawapannya banyak kepada Menteri Pengangkutan yang mengizinkan SIA Engineering Company (SIAEC) yang mengambil pekerja-pekerja teknikal penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) Malaysia Airlines dengan mudah,” tegasnya.
Sehubungan itu, Fayhsal mempersoalkan sama ada Menteri Pengangkutan Anthony Loke adalah Menteri di negara ini ataupun Singapura.
“Sepatutnya beliau kena mempertahankan Malaysia Airlines terlebih dahulu dengan mengenakan syarat yang ketat kepada SIAEC.
“Namun demikian, perkara sebaliknya pula yang terjadi.
“Maka, timbulnya satu persoalan iaitu adalah beliau ini Menteri Pengangkutan Malaysia atau Singapura? Cuba jawab,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Penerbangan Malaysia Airlines menuju Denpasar, Bali berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) iaitu pada 11 September yang lalu.
Menurut laman web FlightRadar24, penerbangan MH853 itu berlepas dari KLIA jam 3.30 petang sebelum berlegar di ruang udara Selat Melaka pada ketinggian 8,000 kaki.
Pesawat Boeing 737-800 itu kemudian berpatah balik ke KLIA sejam setengah kemudian kira-kira jam 5 petang.
Punca di sebalik pesawat itu berpatah balik bagaimanapun belum dapat disahkan. – HARAKAHDAILY 16/9/2024




















