Zionis Israel serang Syria

Kebakaran di lebuh raya Wadi al-Uyun di Syria selepas serangan udara dilancarkan Zionis Israel. (FOTO: SANA)
- Advertisement -

MASYAF: Serangan yang dilancarkan oleh Zionis Israel di tengah Syria pada Ahad telah membunuh sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 19 yang lain, termasuk beberapa individu dalam keadaan serius.

Terdapat beberapa letupan dan penglibatan aset pertahanan udara di wilayah tengah Syria, termasuk di wilayah Tartous dan Hama, yang mengakibatkan beberapa orang awam terkorban, lapor agensi berita, SANA.

Serangan itu didakwa telah dilancarkan Israel dengan ‘pencerobohan udara’ dari ruang udara Lubnan terhadap beberapa pangkalan tentera Syria.

Pesawat pejuang Zionis Israel melancarkan serangan itu dari Lubnan, berkemungkinan untuk mengelak ruang udara Syria, di mana beberapa pasukan serantau dan antarabangsa, termasuk Rusia dan Amerika Syarikat beroperasi.

- Advertisement -

Wilayah Masyaf di barat Hama sebelum ini dianggap telah digunakan sebagai pangkalan tentera Iran dan pasukan pejuang pro-Iran, dan telah berulang kali menjadi sasaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini dalam serangan yang dikaitkan secara meluas dengan Israel.

Di kawasan itu juga dikatakan terdapatnya Pusat Kajian dan Penyelidikan Saintifik, dikenali sebagai CERS atau SSRC, yang menurut Israel digunakan oleh tentera Iran untuk menghasilkan peluru berpandu permukaan-ke-permukaan yang tepat.

Serangan pada Ahad itu berlaku di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin meningkat, dengan pegawai Iran masih berikrar untuk bertindak balas terhadap pembunuhan ketua biro politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran pada Julai lalu.

Iran yang mengekalkan kehadiran tenteranya di Syria, telah menjanjikan ‘hukuman keras’ untuk Israel atas pembunuhan itu, tetapi sehingga kini tiada serangan Iran telah menjadi kenyataan selepas lebih 40 hari pembunuhan itu berlaku. -Agensi/– HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -