
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di negeri Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak sehingga jam 1 tengah hari, hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat di negeri Perak seperti Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
“Selain itu, kawasan di negeri lain yang terlibat adalah di Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat).
“Sementara itu, kawasan di Johor melibatkan Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.
Menurut kenyataan, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2024




















