Kelantan komited pembangunan modal insan berilmu

Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

BANGI: Kelantan komited memberi penekanan kepada pembangunan modal insan yang berilmu, berdaya saing, dan berakhlak mulia.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan telah digagaskan dan pada masa ini sedang dilaksanakan di semua institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri.

- Advertisement -

“Dasar ini bercita-cita untuk membangunkan masyarakat melalui sistem pendidikan yang holistik ke arah kemenjadian insan mulia yang faqih, realistik dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak SG4 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, hari ini. 

Beliau turut berkata, antara kejayaan Kelantan dalam aspek pendidikan Islam adalah seramai 5,122 orang hafiz al-Quran telah dilahirkan sejak tahun 1992 sehingga 2023 melalui institusi pendidikan yang dikendalikan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Alhamdulillah, sekarang Kelantan mempunyai 12 buah sekolah tahfiz di bawah YIK yang mempunyai variasi aliran antaranya qiraat, sains dan kemahiran di samping sekolah-sekolah lain juga di bawah YIK dengan jumlah keseluruhan sebanyak 93 buah sekolah.

“Kelantan juga kaya dengan institusi pondok, berjumlah 59 buah pondok yang tentunya menghasilkan ramai ulama dan ilmuan Islam, yang terus menyumbang kepada perkembangan intelektual di negeri ini,” katanya lagi.

Tambah beliau, setelah Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan dilaksanakan, kerajaan negeri terus melangkah ke hadapan menyelami kehidupan rakyat dengan memperkenalkan satu inisiatif iaitu Budaya Komuniti Rabbani Kelantan.

Tujuannya, kata beliau adalah membentuk rakyat yang hidup berpandukan wahyu dan seiring dengan hala tuju kerajaan ke arah Penghayatan Membangun Bersama Islam.

“Kelantan merupakan satu-satunya negeri yang meletakkan mereka yang tidak sembahyang dan tidak mengamalkan Islam sebagai ad-din sebagai suatu gejala sosial.

“Perkara ini ditangani secara bersepadu melalui Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial Negeri Kelantan di samping gejala-gejala sosial yang biasa ditangani oleh semua negeri seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Ustaz Mohd Nassuruddin turut berkata, hal ini menggambarkan pentingnya sebuah kuasa untuk memastikan Islam terus dipelihara dan dijulang.

Ini, ujarnya sbagaimana kata-kata Imam al-Ghazali di dalam kitabnya al-Iqtisad fi al-I’tiqad yang bermaksud: “Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.” – HARAKAHDAILY 2/9/2024

- Advertisement -